ADVERTISEMENTspot_img

KUOTA BUDI DIESEL 200 LITER PERLU DIKAJI SEMULA DEMI KELANGSUNGAN INDUSTRI PELANCONGAN SABAH


KUNDASANG: Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Kundasang menggesa Kerajaan Persekutuan mengkaji semula had kuota 200 liter di bawah Program BUDI Diesel kerana pelaksanaannya ketika ini dilihat semakin membebankan pengusaha pelancongan, khususnya di Kundasang dan kawasan pelancongan luar bandar di Sabah.


Pengerusinya, Datuk Japiril Suhaimin, berkata Kundasang merupakan antara destinasi pelancongan utama Sabah yang menerima kunjungan pelawat dari dalam dan luar negara sepanjang tahun. Namun, di sebalik pertumbuhan sektor itu, ramai pengusaha kini berdepan peningkatan kos operasi susulan mekanisme subsidi diesel yang dilihat belum mengambil kira sepenuhnya realiti operasi industri pelancongan di Sabah.


Menurut beliau, pengusaha inap desa, resort, hotel, tapak perkhemahan, syarikat pengangkutan pelancong, pengusaha aktiviti rekreasi dan pelbagai perusahaan pelancongan lain bergantung kepada diesel bagi menggerakkan kenderaan, jentera, penjana elektrik serta pelbagai operasi harian.


“Di kawasan tanah tinggi dan luar bandar seperti Kundasang, diesel bukan sekadar bahan api, tetapi merupakan keperluan asas yang memastikan operasi pelancongan dapat berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Beliau berkata had kuota 200 liter di bawah Program BUDI Diesel tidak mencukupi untuk menampung penggunaan sebenar kebanyakan pengusaha yang mengendalikan van pelancong, kenderaan pacuan empat roda, pengangkutan pekerja serta pelbagai kemudahan sokongan operasi.


Katanya, kekangan itu memaksa pengusaha menanggung kos tambahan yang akhirnya meningkatkan harga pakej pelancongan, kos pengangkutan dan keseluruhan kos operasi.


“Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan daya saing industri pelancongan Sabah serta mengurangkan kemampuan pengusaha menawarkan pakej yang berpatutan kepada pelawat,” katanya.


Japiril turut melahirkan kebimbangan bahawa peningkatan kos perjalanan akan mengurangkan aktiviti pelancongan domestik apabila rakyat Sabah sendiri mula mengehadkan percutian dan kunjungan ke destinasi pelancongan tempatan.


“Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pengusaha penginapan, malah turut menjejaskan peniaga kecil, pengusaha makanan, syarikat pengangkutan serta komuniti setempat yang bergantung kepada rantaian ekonomi pelancongan,” katanya.


Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan sesuatu dasar yang memberi impak besar kepada rakyat dan industri sewajarnya mengambil kira keadaan sebenar di Sabah, termasuk faktor geografi, jarak perjalanan yang jauh, cabaran logistik serta kos operasi yang jauh berbeza berbanding Semenanjung Malaysia.


Sehubungan itu, beliau menggesa supaya sesi libat urus yang lebih menyeluruh diadakan melibatkan Kerajaan Negeri Sabah serta pemain industri pelancongan sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.


Persatuan itu turut mengambil maklum bahawa kementerian yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan dasar berkaitan subsidi diesel kini diterajui oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, yang berasal dari Sabah.


“Kami berharap Datuk Armizan dapat memainkan peranan penting membawa suara pengusaha pelancongan, usahawan kecil dan komuniti luar bandar Sabah kepada Kerajaan Persekutuan.


“Sebagai pemimpin yang memahami keadaan negeri ini, beliau diyakini mampu membantu memastikan dasar subsidi diesel diteliti semula berdasarkan keperluan sebenar Sabah,” katanya.


Japiril turut menggesa kementerian mempertimbangkan mekanisme yang lebih fleksibel dan bersasar kepada pengusaha pelancongan yang benar-benar layak.


“Kami tidak memohon layanan istimewa, sebaliknya dasar yang lebih adil serta mengambil kira realiti sebenar operasi industri pelancongan di Sabah,” katanya.


Pada masa sama, beliau dengan penuh hormat memohon Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, supaya memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan dan menggunakan hubungan baik serta pengaruh beliau bagi membawa perkara itu kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar penyelesaian yang lebih praktikal dapat dipertimbangkan.


Beliau berkata sekiranya tiada penyelesaian segera diambil, ramai pengusaha mungkin terpaksa mengurangkan operasi, menaikkan harga pakej pelancongan, mengurangkan tenaga kerja atau menangguhkan pelaburan baharu.


“Kita tidak mahu melihat industri pelancongan Sabah yang sedang bangkit selepas pandemik COVID-19 kembali berdepan tekanan yang boleh menjejaskan momentum pemulihannya,” katanya.


Japiril berkata industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi Sabah kerana bukan sahaja menjana pendapatan negeri, malah menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat serta menggerakkan ekonomi komuniti di bandar dan luar bandar.


“Melindungi industri pelancongan bermakna melindungi ekonomi Sabah, mempertahankan perusahaan tempatan dan memastikan kelangsungan mata pencarian ribuan keluarga yang bergantung kepada sektor ini.


“Kami berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat memberi perhatian sewajarnya terhadap perkara ini demi memastikan industri pelancongan Kundasang dan seluruh Sabah terus berkembang, kekal berdaya saing serta menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN