ADVERTISEMENTspot_img

MINDET bangunkan roadmap 2026-2030 perkasa industri hiliran gas dan minyak – Ewon

EWON ketika hadir sidang Dun

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan membangunkan roadmap 2026-2030 bagi memperkasakan industri hiliran gas dan minyak di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya telah menganjurkan Persidangan Sabah Oil and Gas Services and Equipment (SOGSE) pada bulan lalu dan antara resolusi utama persidangan itu ialah membangunkan roadmap 2026-2030 untuk industri gas dan minyak di Sabah.

“Ia antaranya bertujuan untuk mengembangkan industri hiliran di Sabah. Saya akan membentangkan cadangan roadmap ini kepada Kabinet Negeri dan mudah-mudahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang, selepas mendapat mandat daripada Kabinet, saya akan kembali semula ke Dewan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Jonnybone Kurum berkata, cadangan penubuhan taman perindustrian di Kimanis sememangnya telah dikenal pasti dan dirancang pada peringkat awal sebagai salah satu lokasi berpotensi bagi memperkukuh pembangunan sektor perindustrian di Sabah.

Beliau berkata, MINDET dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Ukur Sabah telah melaksanakan penilaian awal bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk tujuan pembangunan taman perindustrian baharu di kawasan itu.

Bagaimanapun katanya, hasil penilaian dan semakan lanjut mendapati kawasan yang dikenal pasti berdepan cabaran utama dari aspek pengambilan tanah.

“Berdasarkan semakan awal, dianggarkan lebih daripada 1,500 pemilik geran tanah terlibat sekiranya pembangunan taman perindustrian baharu diteruskan di lokasi tersebut.

“Perkara ini sudah tentu akan memberi implikasi kewangan yang besar kepada Kerajaan Negeri, khususnya dari segi kos pengambilan tanah dan kemungkinan kos pemindahan penduduk yang terlibat di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Pantai Manis, Datuk Haji Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir yang bertanya sama ada penubuhan taman perindustrian di Kimanis akan diteruskan serta jenis industri yang dirancang untuk dibangunkan di kawasan tersebut.

Jonnybone berkata, mengambil kira faktor itu, termasuk keperluan memastikan pembangunan taman perindustrian dilaksanakan secara berhemah, mampan dan tidak membebankan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri, Jemaah Menteri pada Februari 2025 telah memutuskan supaya cadangan pembangunan taman perindustrian baharu di lokasi tanah yang telah dikenal pasti di Kimanis tidak diteruskan.

Walau bagaimanapun, katanya, keputusan itu tidak bermaksud agenda pembangunan perindustrian di Sabah dihentikan. Sebaliknya, kementerian telah mengambil langkah proaktif untuk meneroka kawasan alternatif yang lebih sesuai dan berdaya laksana, termasuk di Beaufort.

Beliau berkata, Beaufort sedang diteliti kerana mempunyai potensi dari segi kedudukan strategik serta memerlukan pengambilan tanah yang lebih rendah berbanding lokasi asal di Kimanis, sekali gus dapat mengurangkan kos pembangunan awal dan mempercepatkan proses perancangan serta pelaksanaan.

“Pada masa ini, kementerian sedang menyelaras perkara ini bersama agensi-agensi berkaitan bagi menilai kesesuaian kawasan Beaufort sebagai lokasi alternatif pembangunan taman perindustrian, termasuk kos pengambilan tanah.

“Pendekatan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap pembangunan taman perindustrian dilaksanakan secara strategik, berdaya maju dan memberi pulangan ekonomi yang optimum kepada negeri, di samping meminimumkan kos pengambilan tanah serta impak kepada penduduk setempat,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN