Victor menyerahkan replika sumbangan sebanyak RM30,727 termasuk 7 buah Google TV 65 inci kepada Pengetua SMK Tambunan, Puan Noraini Aini binti A. Talib
TAMBUNAN: Pelajar diingatkan supaya tidak terlalu bergantung kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menyelesaikan tugasan pembelajaran, khususnya bagi mata pelajaran seperti Matematik, kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan keupayaan berfikir secara kritis dan membuat pertimbangan yang rasional.
Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, Datuk Victor P. Paut berkata AI seharusnya dimanfaatkan sebagai alat sokongan pembelajaran, bukannya menggantikan proses pembelajaran asas yang penting dalam membentuk kemahiran berfikir.
Beliau berkata penguasaan numerasi serta kemahiran berfikir perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum pelajar memanfaatkan teknologi AI secara berkesan.
“Walaupun dunia kini semakin canggih, saya menyarankan semua pelajar agar tidak terlalu bergantung kepada AI. Kita perlu terus berusaha menimba ilmu dan mengembangkan kaedah pemikiran supaya mampu menghadapi cabaran dunia sebenar.
“AI mungkin mampu memberikan jawapan, namun keupayaan berfikir membolehkan seseorang menilai sama ada jawapan itu munasabah, tepat dan boleh dipercayai atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan, di sini.
Victor, yang juga Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tambunan, berkata cabaran utama masa kini bukan berpunca daripada kelemahan intelektual pelajar, sebaliknya perubahan gaya hidup moden yang semakin mengurangkan peluang mereka mengaplikasikan kemahiran numerasi dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja memberi kesan terhadap prestasi akademik, malah turut menjejaskan keupayaan pelajar untuk berfikir secara analitikal, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang rasional.
Sehubungan itu, beliau berkata usaha memperkukuh kemahiran numerasi dan pemikiran kritikal perlu digalas secara bersama oleh sekolah, ibu bapa serta komuniti bagi memastikan pelajar memiliki asas ilmu yang kukuh dalam era digital.
Pada majlis sama, Victor mengumumkan sumbangan peribadi berjumlah RM30,000 yang merangkumi insentif kepada pelajar cemerlang STPM serta tujuh unit televisyen pintar Google untuk kegunaan pembelajaran pelajar Tingkatan Enam di sekolah berkenaan.
Beliau berkata SMK Tambunan merupakan satu-satunya sekolah di daerah itu yang menawarkan pendidikan Tingkatan Enam dan kemudahan berkenaan diharap dapat memperkasakan proses pengajaran serta pembelajaran.
“Ketika ini terdapat enam kelas Tingkatan Enam di SMK Tambunan. Jika diizinkan, tahun hadapan kita bercadang menambah lagi sumbangan televisyen pintar untuk kegunaan pelajar Tingkatan Lima.
“Saya juga berharap lebih banyak syarikat korporat serta individu yang berjaya tampil menyumbang semula kepada sekolah dan daerah asal masing-masing demi meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak kita,” katanya.



