Ewon
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick membangkitkan status cadangan menaik taraf beberapa Jalan Luar Bandar (JLB) di kawasan Kadamaian ketika mengemukakan soalan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada Persidangan Dewan Rakyat.
Antara jalan yang dibangkitkan ialah Jalan Gaur–Mangkulat–Bukid–Pinolobuh, Jalan Dundau–Piasau, Jalan Lasau–Kebidahan serta jalan-jalan luar bandar lain di daerah Kota Belud.
Menurut jawapan bertulis Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebanyak satu projek baharu dan lapan projek sambungan di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) telah diluluskan di daerah Kota Belud setakat tahun 2026, membabitkan kos keseluruhan RM671.55 juta.
KKDW memaklumkan daripada sembilan projek yang diluluskan itu, satu projek telah siap sepenuhnya, lima projek sedang dalam pembinaan manakala tiga lagi berada di peringkat pra-pembinaan.
Bagi Projek Membina Jalan Mangkulat–Pinolobuh–Bukid, Kota Belud, kementerian berkata projek baharu itu diluluskan pada tahun 2026 dengan kos sebanyak RM99.9 juta.
Menurut kementerian, skop projek melibatkan pembinaan jalan sepanjang 9.0 kilometer mengikut piawaian JKR R2 serta pembinaan sebuah jambatan.
“Pada masa ini, projek berada dalam peringkat penyediaan reka bentuk konsep dan dijadualkan menjalani Makmal Kajian Nilai (Value Assessment – VA) pada 20 hingga 24 Julai 2026,” menurut jawapan bertulis kementerian bagi pertanyaan lisan Ewon pada Persidangan Dewan Rakyat, 14 Julai lalu.
Sementara itu, KKDW memaklumkan Projek Menaik Taraf Jalan Piasau–Dundau–Siasai, Kota Belud telah diluluskan pada tahun 2024 dengan kos sebanyak RM46 juta.
Skop projek merangkumi kerja-kerja menaik taraf jalan sepanjang 5.0 kilometer mengikut piawaian JKR R2, manakala status semasa projek kini berada di peringkat penyediaan reka bentuk terperinci sebelum proses perolehan dilaksanakan.



