ADVERTISEMENTspot_img

Polis Tahan Lima Remaja, Kes Vandalisme Pondok Ibadat Putatan, Tiada Unsur Hina Agama

Sammy

PENAMPANG: Polis berjaya menahan lima remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian vandalisme di sebuah pondok ibadat di Putatan, sekali gus mengesahkan insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan unsur menghina atau menjatuhkan mana-mana agama.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton, berkata kelima-lima suspek berusia antara 13 hingga 16 tahun itu ditahan pada 15 Julai di daerah Putatan hasil tindakan pantas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada perbuatan vandalisme semata-mata dan bukan didorong oleh sebarang unsur kebencian atau penghinaan terhadap agama.

“Kes ini telah berjaya diselesaikan dengan penahanan lima remaja bagi membantu siasatan. Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu tidak berkaitan dengan unsur menghina atau menjatuhkan mana-mana agama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan atau merosakkan tempat ibadat, manakala kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Sammy berkata polis memandang serius sebarang perbuatan khianat yang melibatkan rumah atau tempat ibadat kerana ia berpotensi menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.

Beliau memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, profesional dan berpandukan peruntukan undang-undang.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula gambar dan video berkaitan kejadian yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang tampil menyalurkan maklumat sehingga membolehkan polis menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh yang singkat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN