Suhaili menerima cenderahati daripada Junaidah sambil disaksikan Amiluddin.
LABUAN: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan mengukuhkan hubungan strategik
dalam pelaksanaan fungsi dan peranan KPDN dengan Pejabat Ahli Parlimen Labuan.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain menjelaskan perkara itu semasa kunjungan hormat beliau ke Pejabat Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman, pada Selesa.
Turut sama Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Amiluddin Malang, serta pegawai-pegawai kanan KPDN.
Menurut Junaidah, pertemuan yang berlangsung dalam suasana harmoni itu turut menterjemahkan fungsi pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan, pemantauan harga dan bekalan barangan keperluan, perlindungan pengguna serta usaha memastikan pematuhan terhadap perundangan di bawah seliaan kementerian.
Selain itu katanya, pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang menjadi program titik sentuhan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat melalui penawaran barangan keperluan pada harga berpatutan.
“Pada masa yang sama, KPDN Labuan turut memainkan peranan membantu syarikat dan peniaga yang layak melalui khidmat nasihat serta urusan berkaitan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)”, katanya.
Tambahnya, pelaksanaan pemantauan berterusan juga diperkemas bagi memastikan penyaluran subsidi dilaksanakan mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Semrntsra itu, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai kepentingan kerjasama berterusan antara KPDN Labuan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Labuan, agensi-agensi kerajaan, sektor swasta serta komuniti peniaga dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan, meningkatkan tahap pematuhan terhadap perundangan dan memastikan manfaat program kerajaan dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada masyarakat di Labuan.
Junaidah berkata, KPDN Labuan komited untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan semua pemegang taruh bagi memastikan kepentingan pengguna terus terpelihara disamping menjadikan ekosistem perdagangan di pulau ini kekal kondusif, berdaya saing dan mampan.



