sebahagian kepimpinan EXCO Pemuda PBS (Kuota Merah)
KOTA KINABALU: Barisan kepimpinan Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat (Kuota Merah) bersama pemimpin-pemimpin Pemuda PBS (Kuota Merah) dari seluruh Sabah menyatakan sokongan dan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Datuk Dr. Christopher Mandut sebagai Ketua Pemuda Pusat PBS.
Timbalan Ketua Pemuda Pusat PBS merangkap Ketua Bahagian PBS N.22 Tanjung Aru, Louis Lai, berkata Christopher telah membuktikan komitmen yang tinggi sepanjang menerajui sayap Pemuda parti itu menerusi usaha memperkukuh organisasi, mendekati akar umbi serta memastikan suara golongan muda terus diberi perhatian.
Beliau berkata kepimpinan Christopher bukan sahaja terserlah melalui jawatan yang disandang, malah dibuktikan menerusi tindakan, kesungguhan, kehadiran serta komitmen berterusan dalam memperjuangkan agenda Pemuda PBS.
“Dalam landskap politik yang semakin mencabar, Pemuda PBS memerlukan seorang pemimpin yang berpengalaman, konsisten, berwibawa dan mampu menyatukan seluruh jentera parti.
“Kepimpinan harus dinilai berdasarkan rekod perkhidmatan, keupayaan memimpin, kesanggupan berkorban serta hasil kerja yang telah dibuktikan, bukannya sekadar retorik atau persepsi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesinambungan kepimpinan Christopher amat penting bagi memastikan agenda memperkasakan Pemuda PBS dapat diteruskan secara lebih tersusun dan berkesan.
Louis berkata Christopher juga merupakan antara pemimpin yang sentiasa membawa suara dan aspirasi PBS di peringkat negeri serta Persekutuan, selain aktif mengetengahkan pandangan golongan muda menerusi pelbagai platform media serta mempertahankan hak-hak Sabah.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga Pemuda PBS supaya terus memperkukuh perpaduan dan membuat penilaian terhadap kepimpinan berdasarkan komitmen, integriti, kehadiran serta rekod perkhidmatan seseorang pemimpin.
Katanya, ahli parti tidak seharusnya mudah dipengaruhi oleh perkara yang boleh memecahbelahkan perpaduan, sebaliknya bersama-sama memastikan masa depan Pemuda PBS dipimpin oleh individu yang berupaya memikul amanah, memberi komitmen sepenuhnya serta membuktikan keupayaan melalui tindakan dan hasil kerja. -Ateng



