YDP PIBG, En. Doney Limun, mengetuai sesi menandatangani Aku Janji Ayah bersama barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG sebagai simbol komitmen memperkukuh peranan bapa dalam menyokong kecemerlangan pendidikan anak-anak.
RANAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Nunuk Ragang mencipta sejarah apabila berjaya menganjurkan Program Kasih Ayah Membentuk Kecemerlangan Anak, yang disifatkan sebagai inisiatif pertama seumpamanya di daerah ini bagi memperkukuh penglibatan golongan bapa dalam pendidikan anak-anak.
Program berkonsepkan penglibatan eksklusif golongan bapa itu bertujuan memperkasa peranan mereka sebagai tonggak utama keluarga dalam menyokong kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah serta kesejahteraan anak-anak.
Berbeza daripada amalan lazim, hanya golongan bapa dijemput hadir bagi menerima dan menandatangani slip Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) serta keputusan Ujian Penilaian Sumatif Akademik (UPSA) anak masing-masing.
Program itu mencatat penyertaan penuh apabila seramai 140 orang bapa hadir, termasuk wakil kepada bapa yang tidak dapat menghadiri majlis kerana komitmen kerja, sekali gus mencapai kadar kehadiran 100 peratus.
Sepanjang program, peserta mengikuti sesi taklimat dan pembentangan analisis pencapaian murid dalam PBD dan UPSA yang disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran sekolah, selain menyertai sesi “Bicara Santai Tokoh Ayah” yang disampaikan oleh Kerihing Dahil mengenai kepentingan peranan seorang bapa dalam membentuk generasi cemerlang.
Kemuncak program menyaksikan semua peserta melafazkan Ikrar Aku Janji Ayah yang mengandungi 10 komitmen utama sebagai panduan dalam menyokong pembelajaran, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan anak-anak secara berterusan.

AKU JANJI AYAH…Sebahagian bapa murid yang hadir melafazkan Ikrar Aku Janji Ayah sebagai tanda komitmen untuk memainkan peranan aktif dalam membimbing serta menyokong kecemerlangan pendidikan anak-anak.
Guru-guru kelas turut mengadakan sesi pertemuan bersemuka bersama setiap bapa bagi membincangkan prestasi akademik, perkembangan murid serta tindakan susulan yang boleh dilaksanakan secara bersama antara pihak sekolah dan keluarga.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd. Kahar, yang menyifatkan komitmen tinggi ditunjukkan oleh para bapa sebagai petunjuk jelas bahawa institusi keluarga memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berkualiti.
Beliau berkata, penglibatan aktif ibu bapa, khususnya golongan bapa, mampu mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih kondusif sekali gus membantu meningkatkan pencapaian murid secara menyeluruh.
“Program seperti ini wajar diteruskan dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain kerana diyakini mampu menyokong usaha melahirkan murid yang memiliki ciri-ciri Insan Sejahtera, iaitu beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan,” katanya.
Program berkenaan merupakan cetusan idea Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Jenuil Adam Makinda, dengan sokongan Guru Besar SK Nunuk Ragang, Rohany Husny, serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Doney Limun.
Penganjuran program tersebut diharap menjadi pemangkin kepada pembudayaan penglibatan aktif golongan bapa dalam pendidikan anak-anak serta menjadi model amalan terbaik yang boleh diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di Sabah dan seluruh negara.



