ADVERTISEMENTspot_img

“Adakah wang rampasan SPRM RM114 juta isu rasuah Jabatan Bekalan Air Sabah dikembalikan semula untuk tujuan asal” – Madius

MADIUS

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai status wang rampasan bernilai RM114 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah pada tahun 2016, dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, dalam satu pertanyaan lisan mendesak kerajaan persekutuan untuk menjelaskan kedudukan terkini dana tersebut.

“Apakah langkah seterusnya yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengembalikan semula wang itu kepada Kerajaan Negeri Sabah, memandangkan peruntukan asal tersebut adalah bertujuan untuk projek menaik taraf kemudahan bekalan air di negeri ini,” katanya.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said, mengesahkan bahawa kesemua wang tunai dan harta yang disita pada tahun 2016 itu masih berada dalam simpanan selamat pihak SPRM.

Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan prosedur operasi standard agensi penguatkuasaan, mana-mana aset yang disita akan kekal di bawah jagaan agensi berkenaan sehinggalah proses dan keputusan mahkamah dimuktamadkan.

“Aset ini hanya akan dilucuthakkan dan dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Malaysia setelah perintah pelucuthakan daripada mahkamah diperoleh,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai status perundangan kes berkenaan, Azalina mendedahkan bahawa pihak pendakwaan sebelum ini telah membuat permohonan di Mahkamah Sesyen agar kesemua wang dan harta sitaan itu dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Walau bagaimanapun beliau memaklumkan, Mahkamah Sesyen telah mengeluarkan arahan supaya permohonan pelucuthakan tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.

“Penangguhan ini adalah bagi membolehkan semua proses rayuan di peringkat mahkamah yang lebih tinggi diselesaikan terlebih dahulu.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan telah pun memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap keseluruhan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Sesyen tersebut.

“Perkara ini masih lagi tertakluk kepada proses perundangan yang sedang berjalan,” jelas beliau lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN