Isnin (empat kanan) dan Prof. Madya Dr. Geoffrey (tiga kiri) bersama delegasi UMS dan pelajar Tingkatan Enam di Beaufort pada Selasa lalu.
LABUAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuhkan komitmennya dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi menerusi penganjuran Program Jerayawara Aspirasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama pelajar-pelajar Tingkatan Enam Beaufort.
Program yang berlangsung di Dewan Pa’ Musa, Beaufort pada Sabtu lalu itu bertujuan memberi pendedahan secara menyeluruh mengenai peluang melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA), selain meningkatkan kesedaran pelajar terhadap potensi STPM sebagai laluan utama ke institusi pengajian tinggi.
Program dianjurkan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), UMS dengan kerjasama Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS.
Inisiatif ini mendapat sokongan penuh daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi, manakala penyelarasannya diterajui Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda.
Majlis perasmian disempurnakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Beaufort, Gani Senang dan Dekan FKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.
Delegasi UMS turut disertai Timbalan Dekan (Akademik); Dr. Ricky Chia Chee Jiun, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi); Dr. Alesia Sigang Gugkang, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Noor Hassanah Husin dan Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Mohd Tuah.
Isnin dalam ucapannya berkata, pendidikan tinggi merupakan pemangkin utama kepada pembangunan modal insan yang berkualiti serta pembangunan sosioekonomi negeri Sabah.
Beliau menyeru pelajar Tingkatan Enam agar menjadikan peluang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan sebagai batu loncatan untuk membina masa depan yang lebih cemerlang.
Isnin turut memuji usaha UMS yang sentiasa turun padang mendekati pelajar di daerah-daerah luar bandar bagi memastikan maklumat berkaitan kemasukan ke universiti dapat disampaikan secara tepat dan terus kepada golongan sasaran.
“Pendekatan sedemikian bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelajar untuk menyambung pengajian, malah membantu mereka membuat pilihan akademik yang lebih tepat berdasarkan minat dan potensi masing-masing,”katanya.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Geoffrey menjelaskan kerajaan kini sedang melaksanakan transformasi penting terhadap sistem pendidikan prauniversiti menerusi pemindahan pengurusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program Matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurutnya, langkah yang diperkenalkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026–2035 itu bertujuan mengangkat STPM sebagai laluan prauniversiti yang lebih kompetitif dan setanding dengan program asasi, matrikulasi serta A-Level.
Penyelarasan kurikulum dengan tahun pertama Universiti Awam, pengenalan pindahan mata kredit bagi subjek tertentu serta penambahbaikan sistem akademik akan memberi kelebihan kepada pelajar apabila melanjutkan pengajian di universiti.
Beliau menjelaskan bahawa semua lepasan STPM yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dijamin mendapat tempat di Universiti Awam, manakala proses pemilihan program dilaksanakan secara telus berdasarkan sistem merit yang mengambil kira 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus pencapaian kokurikulum.
“Walaupun persaingan bagi program-program tertentu amat tinggi, setiap pelajar akan dipertimbangkan berdasarkan merit dan kekosongan program yang ditawarkan,”katanya.
Dalam sesi perkongsian, pelajar diberikan penerangan mengenai pelbagai program akademik yang ditawarkan oleh UMS, khususnya di FKAL, meliputi bidang Kewangan Antarabangsa, Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir, Pemasaran Antarabangsa, Ekonomi Kewangan Antarabangsa serta Kewangan Islam.
Program Jerayawara Aspirasi UMS merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UMS untuk memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti, khususnya kepada pelajar-pelajar di daerah luar bandar Sabah.
Melalui pendekatan turun padang, universiti berharap lebih ramai pelajar Tingkatan Enam akan melihat STPM sebagai laluan akademik yang berkualiti dan berdaya saing untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Awam.
Inisiatif ini juga membuktikan komitmen UMS dalam menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta Pejabat Pendidikan Daerah untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah serta kemajuan Malaysia pada masa hadapan.



