RANAU: Pendidikan merupakan pelaburan paling bernilai dalam membina masa depan negara, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menerusi ucapan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, sempena Majlis Anugerah Cemerlang SMK Lohan Ranau yang berlangsung di sekolah itu pada Rabu.
Dalam ucapannya, Benedict berkata kejayaan yang diraikan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik, tetapi lahir daripada usaha gigih, disiplin serta pengorbanan para pelajar yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah sambil mengingatkan bahawa setiap kejayaan merupakan hasil titik peluh, ketekunan dan kesungguhan yang perlu terus dipelihara sebagai pemangkin untuk mencapai impian yang lebih besar.
“Kejayaan yang anda capai hari ini bukanlah satu kebetulan. Ia adalah hasil usaha, pengorbanan masa dan semangat yang tidak pernah luntur. Jadikan pengiktirafan ini sebagai pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh,” katanya.
Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada pelajar yang belum berpeluang menerima anugerah, sambil menegaskan bahawa setiap individu mempunyai potensi tersendiri yang akan terserlah apabila terus berusaha dan tidak mudah berputus asa.
Menurut beliau, perjalanan menuju kejayaan bukanlah satu perlumbaan singkat, sebaliknya satu perjalanan panjang yang menuntut kesabaran, ketabahan dan keazaman.
Benedict turut merakamkan penghargaan kepada Pengetua SMK Lohan, Puan Hanie binti Kumil, barisan pentadbir, guru-guru, kakitangan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas komitmen berterusan dalam membentuk kecemerlangan pelajar.
Katanya, kejayaan yang dikecapi oleh para pelajar hari ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.
“Guru-guru menjadi pelita yang menerangi jalan anak-anak, manakala ibu bapa pula merupakan tunjang utama yang sentiasa mendorong mereka untuk terus berjaya. Kejayaan pendidikan tidak mungkin dapat dicapai tanpa kerjasama yang kukuh antara sekolah dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata aspirasi terbesar Jonathan adalah untuk melihat lebih ramai anak muda Ranau muncul sebagai generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki jati diri, integriti, daya fikir kritis serta mampu bersaing dalam era globalisasi.
Sehubungan itu, katanya, Ahli Parlimen Ranau akan terus memberikan sokongan terhadap segala usaha, program dan inisiatif yang mampu memperkasakan pendidikan di kawasan tersebut demi melahirkan modal insan berkualiti.
Majlis Anugerah Cemerlang itu bukan sahaja menjadi platform menghargai pencapaian pelajar, malah turut mengiktiraf dedikasi guru-guru serta sokongan ibu bapa dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Sebagai tanda komitmen berterusan terhadap pembangunan pendidikan di Ranau, Jonathan turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada SMK Lohan sebagai insentif bagi menyokong program kecemerlangan pelajar dan memperkukuh usaha sekolah melahirkan lebih ramai anak didik yang cemerlang pada masa hadapan.



