Mordi (kiri) bersama Mahanum ( tiga dari kiri) meninjau salah satu aktiviti yang disertai golongan belia pada program tersebut.
LABUAN: Program Fiesta Rakan Muda bukan sahaja menjadi platform memperkasa pembangunan belia tetapi juga mampu memupuk nilai kepimpinan belia selaras dengan aspirasi pembangunan belia negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, penganjuran program Fiesta Rakan Muda yang dilaksanakan di seluruh negara memberi peluang kepada golongan belia mengembangkan bakat, meningkatkan kemahiran insaniah serta memupuk nilai kepimpinan belia.
“Program ini menjadi medium dalam menggalakkan penglibatan aktif belia dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat sekaligus mengukuhkan perpaduan serta semangat kebersamaan dalam komuniti.”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Fiesta Rakan Muda 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Kampung Layang Layangan baru baru ini.
Program yang dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan itu telah menghimpunkan lebih 3,000 belia melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta komuniti setempat sekaligus berjaya menyemarakkan budaya kesukarelawan disamping memperkukuhkan jaringan kerjasama.
Pelbagai aktiviti yang berteraskan 10 gaya hidup rakan muda menjadi pengisian program tersebut.
Hadir pada program itu, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superintendan Wan Firdaus Wan Zaki, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan, Mahanum Fauzi, Ketua Kampung Layang Layangan, Faizal Lakat dan Presiden Majlis Belia Labuan, Nazera Roslan.



