ADVERTISEMENTspot_img

WANITA DITEMUI MENINGGAL DUNIA DALAM PANGSAPURI DI PENAMPANG

DITEMUI TIDAK BERNYAWA… Mayat wanita dipercayai warga asing ditemui meninggal dunia oleh pihak polis

PENAMPANG: Seorang wanita warga asing berusia 42 tahun ditemukan meninggal dunia di kediamannya di sebuah unit pangsapuri di Jalan Penampang Lama di sini, malam tadi, selepas gagal dihubungi oleh majikannya sejak pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu kira-kira jam 10 malam pada 30 Jun.

Beliau berkata mangsa yang tinggal bersendirian di kediaman berkenaan sebelum itu memaklumkan kepada majikannya bahawa beliau akan bercuti pada 29 Jun dan dijadual kembali bekerja pada 30 Jun.

“Apabila mangsa gagal dihubungi sejak pagi 30 Jun, majikannya telah pergi ke kediamannya namun mendapati pintu rumah berkunci dan tiada sebarang maklum balas.

“Susulan kebimbangan terhadap keselamatan mangsa, polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuka pintu kediaman secara paksa sebelum menemui mangsa telah meninggal dunia di dalam rumah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sammy berkata pemeriksaan di lokasi kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat serta siasatan lanjut,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN