ADVERTISEMENTspot_img

Sebuah Rumah Separuh Kekal Musnah Di Kg.Mangkadait

RANAU: Sebuah rumah separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Mangkadait di sini pada malam Isnin.


Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam kejadian tersebut.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 8.22 malam sebelum menggerakkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Vigo bersama enam anggota ke lokasi kejadian.


“Rumah yang terbakar ialah sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran kira-kira 20 x 40 kaki. Semasa pasukan bomba tiba di lokasi, rumah berkenaan telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.06 malam selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 80 kilometer dari BBP Ranau.


Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pemadaman saki-baki bara api menggunakan sumber air daripada paip berhampiran bagi mengelakkan kebakaran berulang.


Pemeriksaan menyeluruh turut dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran atau bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan di lokasi kejadian.


Operasi yang diketuai oleh PBK II Nickson Juni ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.29 malam selepas keadaan disahkan selamat.


Seramai enam anggota BBP Ranau terlibat dalam operasi itu dengan menggunakan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan Toyota Vigo.


Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN