THUMBS UP: Hazem Mubarak (kanan) bersama Victor (dua kanan) semasa menghadiri taklimat
KUNAK: Kumpulan Sawit Kinabalu mengadakan lawatan kerja ke Kilang Penapisan Sawit Kunak, Kunak Refinery Sdn Bhd dan Kunak Lipids Sdn Bhd, bagi meninjau operasi pemprosesan minyak sawit serta mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pengurusan dan aktiviti perniagaan kilang.
Lawatan diketuai Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Musa bersama Timbalan Pengerusi, Dato’ Victor P. Paut, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Victor Ationg serta Ahli Lembaga Pengarah syarikat.
Rombongan diberi taklimat oleh pengurusan kilang mengenai operasi penapisan minyak sawit, termasuk proses fractionation yang mengasingkan komponen minyak mengikut tahap ketepuan sebelum diproses menjadi produk bagi pasaran tempatan dan eksport.
Turut dibentangkan ialah perkembangan urus niaga kilang, strategi pemasaran, keupayaan pengeluaran serta peranan operasi hiliran dalam memperkukuh rantaian nilai industri sawit Sabah dan meningkatkan daya saing produk Sawit Kinabalu di pasaran antarabangsa.



