Kunjungan ke rumah Aman Dorinsim pada 31 Januari lalu.
KOTA BELUD: Seorang warga emas dari Kampung Tobur, Kadamaian, Aman Dorinsim yang tinggal bersendirian dan mengalami masalah penglihatan kini memiliki rumah baharu yang lebih selesa hasil sumbangan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sdn Bhd.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, program CSR itu mencerminkan keprihatinan sektor korporat dalam membantu golongan yang memerlukan.
Pada 31 Januari lalu, beliau mengadakan kunjungan ke rumah warga emas itu bersama pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian dan mendapati rumah sedia ada sangat uzur.
“Susulan itu, saya meminta KKIP membantu melalui program CSR mereka. Saya berharap rumah baharu ini dapat memberikan keselesaan kepada Aman Dorinsim,” katanya selepas mengunjungi dan meninjau rumah baharu yang telah siap dibina untuk warga emas berkenaan.
Pada April lalu, Ewon menyampaikan sumbangan CSR KKIP sebanyak RM20,000 bagi pembinaan sebuah rumah baharu Aman Dorinsim yang tinggal berseorangan.
Sementara itu, anak kepada penerima sumbangan CSR, Jose Dorinsim merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon atas
keprihatinan membantu bapanya mendapatkan peruntukan membina sebuah rumah baharu yang lebih selesa dan mesra OKU.
“Kami sekeluarga amat bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk Ewon dan KKIP Sdn Bhd atas pembinaan rumah baharu ini yang pastinya memberi keselesaan kepada bapa saya yang tinggal bersendirian dan menghadapi masalah penglihatan.
“Kami menghargai keprihatinan semua pihak yang telah membantu merealisasikan pembinaan rumah ini,” katanya.



