Ewon menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi JKKK Kg.Sayap Amilda Taising
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 melibatkan peranan besar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan itu.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah yakin pelan pembangunan yang sedang dilaksanakan itu dapat dijayakan dengan kerjasama semua pihak.
“Saya amat yakin dengan adanya kerjasama ini, kita dapat melihat pembangunan Kadamaian yang lebih baik menjelang 2030.
“Begitu juga dari segi keselamatan. Saya berharap mereka dapat memastikan keselamatan kampung teratur. Sebab itu pada hari ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut menyampaikan taklimat berkaitan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada 73 pengerusi dari seluruh kawasan DUN Kadamaian di Perkarangan Pejabat ADUN Kadamaian, di sini, hari ini.
Ewon berharap semua pengerusi JKKK yang baru menerima watikah pelantikan itu akan menjadi sebahagian daripada jentera kerajaan untuk membangunkan kampung masing-masing dan Kadamaian secara keseluruhannya.
“Saya mengucapkan tahniah diatas pelantikan ini dan semoga dapat memimpin kampung masing-masing bagi memastikan perkara berkaitan kemajuan dan keselamatan kampung, perpaduan, keharmonian, kerjasama dan kebersamaan rakyat dapat diperkukuhkan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menghargai Yayasan KOSMA yang melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberikan sumbangan alat pemadam api kepada 97 kampung dalam kawasan DUN Kadamaian.
“Semoga kerjasama bersepadu seperti ini dapat membawa Kadamaian kepada keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.



