SUASANA… Suasana semasa lawatan dan sesi ramah mesra dengan penerima SARA.
KOTA KINABALU : Kementerian Kewangan (MOF) berhasrat memperluaskan lagi pendaftaran premis perniagaan yang menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh Sabah.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha itu ada bagi
memudahkan rakyat menebus bantuan tersebut, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Sehingga kini sebanyak 1,493 kedai di Sabah telah berdaftar di bawah program SARA, sekali gus mencerminkan peningkatan yang memberangsangkan dalam usaha memperluaskan jaringan penebusan bantuan itu.
“Tumpuan kerajaan adalah untuk menambah bilangan kedai yang terlibat bagi mengurangkan jarak perjalanan penerima dan memastikan akses yang lebih mudah kepada rakyat.
“Usaha kita adalah untuk meningkatkan jumlah kedai dan mengurangkan jarak perjalanan rakyat bagi menebus SARA. “Inisiatif ini bukan sahaja tertumpu di bandar-bandar besar, malah diperluaskan hingga ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman,” katanya kepada media selepas Program Sesi Turun Padang yang diadakan di sini, pada Selasa.
Beliau memaklumkan di peringkat nasional, lebih 13,500 premis telah berdaftar di bawah program SARA, merangkumi bukan sahaja pasar raya besar tetapi juga kedai-kedai runcit kecil yang kini diberikan perhatian khusus.
“Sehingga kini lebih 6,500 kedai kecil telah menyertai program ini dan kerajaan menyasarkan jumlah tersebut ditingkatkan kepada 10,000 premis di seluruh negara dalam tempoh terdekat,” tambahnya.
Amir Hamzah berkata usaha kedua MOF adalah memperkukuh penyertaan usahawan tempatan menerusi penyediaan ruang khas bagi produk tempatan di premis SARA, sekali gus membantu meningkatkan jualan dan daya saing perniagaan mereka.
“Usaha yang kita laksanakan bukan sekadar menyalurkan bantuan kepada rakyat, tetapi juga bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi dan memperkasakan usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini lebih 150,000 jenis produk di seluruh negara telah disenaraikan dan boleh ditebus di bawah program SARA, sekali gus menawarkan pilihan yang lebih luas kepada penerima bantuan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan MOF turut memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Kewangan Sabah bagi memastikan penyelarasan program bantuan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Menurutnya, kerjasama itu penting bagi mengelakkan pertindihan bantuan serta memastikan inisiatif yang disediakan benar-benar sampai kepada golongan yang layak.
“Kita bekerjasama dengan semua pihak supaya bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan dapat diselaraskan dengan baik, tidak bertindih dan sampai kepada mereka yang memenuhi syarat,” katanya.
Mengulas cadangan untuk menambah kategori barangan basah selain produk sejuk beku di bawah program SARA, Amir Hamzah berkata pihaknya sentiasa meneliti langkah bagi memperluaskan pilihan barangan yang boleh ditebus oleh penerima.
“Pada penghujung tahun lalu, kerajaan telah memasukkan beberapa produk sejuk beku seperti ayam dan nugget ke dalam senarai barangan yang layak ditebus di kedai SARA.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa kategori barangan basah yang masih belum dimasukkan kerana kita perlu memastikan aspek kualiti sentiasa terjamin,” ujarnya.
Amir menjelaskan buat masa ini, keutamaan adalah memastikan kualiti barangan berada pada tahap terbaik sebelum dimasukkan ke dalam sistem dan kerajaan akan terus berusaha memperluaskan pilihan barangan dengan standard kualiti sentiasa dipelihara.
Turut hadir Pembantu Menteri Kewangan II Datuk Sr Mohd Ishak Ayub serta Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Datuk Norali @ Ag Norali Ag Damit./Penerangan–



