Raisin (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Razali (kanan).
KOTA KINABALU: Pendidikan merupakan pelaburan penting dalam membangunkan modal insan berkualiti yang mampu memacu kemajuan Sabah.
Setiausaha Persekutuan (SUP) Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab berkata, pembangunan sesebuah negeri bukan hanya bergantung kepada pembangunan infrastruktur tetapi juga memerlukan modal insan berkualiti untuk memacu kemajuan negeri.
“Pembangunan sesebuah negeri bukan hanya bergantung kepada kemudahan fizikal seperti jalan raya, jambatan, pelabuhan dan lapangan terbang sebaliknya memerlukan modal insan berilmu, berkemahiran serta berdaya saing untuk menerajui pelbagai sektor ekonomi pada masa hadapan.
“Apabila kita melabur dalam pendidikan, kita melabur dalam masa depan Sabah. Usaha memperkukuh sekolah pula memperkukuh daya saing negeri, sekali gus membangunkan potensi murid dan merealisasikan Sabah Maju Jaya.
“Sabah kini sedang menikmati perkembangan positif dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, minyak dan gas, ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI), namun semua peluang tersebut memerlukan modal insan berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.
“Selain itu, sistem pendidikan perlu terus diperkasakan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah, berinovasi dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Jasamu Dikenang 2026 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini, pada Rabu.
Menurut Mohd Razali, sektor pendidikan Sabah turut mencatat perkembangan memberangsangkan apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian itu amat signifikan kerana buat pertama kali Sabah berjaya merekodkan GPN di bawah paras 5.00, sekali gus membuktikan usaha berterusan seluruh warga pendidikan negeri mula membuahkan hasil.
“Prestasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) turut menunjukkan peningkatan apabila peratus calon yang memperoleh lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat daripada 98.81 peratus kepada 98.87 peratus,” jelasnya.
Beliau turut menggesa penerima APC agar terus menjadi teladan dan ejen perubahan, di samping berkongsi pengalaman, kepakaran, idea serta inovasi bagi memperkukuh sistem pendidikan di Sabah.”Masyarakat melihat penerima APC sebagai contoh teladan, manakala organisasi pula mengharapkan mereka menjadi pemangkin kepada budaya kerja cemerlang dalam perkhidmatan awam.” tambahnya.
Pada majlis tersebut, seramai 354 warga pendidikan seluruh Sabah menerima APC 2025 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan prestasi, integriti dan komitmen dalam melaksanakan tugas, manakala 15 pesara turut diraikan menerusi segmen Jasamu Dikenang.Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Indang Kasi Sibin, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Krishna KS @ Fadzli Abd Rozan, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Nurani Fauziah Derin serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Sumber Manusia Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Emmy Liew./Penerangan–



