ADVERTISEMENTspot_img

Lapor Aktiviti Jual Diesel Bersubsidi Secara Haram: Masidi

MASIDI (kanan) ketika sidang media

KOTA KINABALU : Rakyat Sabah diseru untuk melaporkan sekiranya terjumpa dengan aktviti penjualan diesel bersubsidi secara haram bagi mengelakkan ketirisan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri  II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata sikap menyayangi negeri dan nasionalisme tempatan amat penting bagi memastikan pelaksanaan penambahbaikan skim penyasaran subsidi diesel di Sabah mencapai matlamatnya.

“Sila lapor kalau ada terjumpa mereka yang bertanggungjawab menjual secara haram kepada mereka yang tidak layak. Look after your own rice bowl’.

“Ketepikan sikap terlalu bermurah hati kepada pihak yang tidak sepatutnya, sebaliknya bangkit mempertahankan “periuk nasi” sendiri bagi mengekang isu ketirisan subsidi diesel yang mencecah bilion liter di negeri ini.

“Apabila ketirisan itu berlaku, bukan sahaja kerajaan yang rugi tetapi sebenarnya rakyat juga rugi kerana jumlah diesel yang dapat diagihkan kepada pengguna yang benar-benar layak turut berkurang,” katanya selepas mendengar taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di sini, pada Selasa.

Taklimat tersebut disampaikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau turut memuji langkah komprehensif yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan dengan mengambil kira faktor geografi dan sosioekonomi Sabah yang unik dan berbeza dengan Semenanjung.

Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah menjelaskan pintu perbincangan sentiasa terbuka bagi memastikan skim ini berjalan lancar tanpa menjejaskan sektor industri utama secara drastik.

“Sehingga kini tiada sebarang aduan rasmi yang diterima daripada pihak industri,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa setiap sen penjimatan daripada penguatkuasaan ketirisan ini akhirnya akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui mekanisma harga bahan api yang lebih rendah.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Sr. Mohd Ishak Ayub, Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Datuk Norali @ Ag Norali Ag Damit, Pengarah Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup Sabah, Shahril Nizam Shahidin./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN