Hajiji melancarkan Kinabalu Media sebagai platform KOPEKS penyampaian maklumat yang sahih kepada masyarakat.
KOTA KINABALU : Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) wajar dijadikan contoh kerana berani melakukan transformasi meneroka pelbagai sektor strategik.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, transformasi perniagaan akan membolehkan koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota dan pelanggan selain memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul selaras dengan perubahan semasa.
“Landskap ekonomi dan teknologi yang semakin kompetitif, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata sebaliknya perlu terus berinovasi bagi memastikan daya saing dan kelangsungan pertumbuhan.
“KOPEKS berani melakukan transformasi daripada hanya menjalankan perniagaan kredit kepada pelbagai sektor strategik yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, antaranya termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu,kesihatan, pusat dialisis, projek perumahan, import dan eksport serta penerbitan akhbar komuniti.
“Oleh itu, gerakan koperasi di Sabah supaya berani melakukan transformasi perniagaan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan serta meneroka sektor baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada anggota, komuniti dan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) serta melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, transformasi perniagaan akan membolehkan koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota dan pelanggan, selain memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul selaras dengan perubahan semasa.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri amat menggalakkan koperasi untuk terus memperkukuhkan tadbir urus, memperluaskan bidang perniagaan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata penerbitan Kinabalu Media membuktikan komitmen KOPEKS memperkukuhkan budaya ilmu dan menyediakan platform penyampaian maklumat yang sahih kepada masyarakat, serta satu sumbangan penting dalam memperkukuhkan industri persuratkhabaran di Sabah.
“Dalam era media digital yang berkembang pesat, penerbitan bercetak masih mempunyai peranan penting menyediakan laporan yang lebih mendalam, analisis yang berkualiti dan dokumentasi pelbagai isu semasa.Â
“Kerajaan Negeri melihat media sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan negeri serta memperkukuhkan perpaduan rakyat, termasuk menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” jelasnya.
Mengulas perkembangan sektor kesihatan yang diceburi KOPEKS, Hajiji berkata, langkah koperasi itu mengambil alih beberapa klinik swasta membolehkan ahli menikmati kemudahan rawatan pada kadar berpatutan, sekali gus membuktikan koperasi mampu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyambut baik perancangan KOPEKS menubuhkan pusat dialisis memandangkan keperluan terhadap perkhidmatan itu semakin meningkat dengan jumlah pesakit buah pinggang di Sabah kini melebihi 2,000 orang.
“Saya berharap pusat dialisis yang bakal diwujudkan nanti menawarkan caj yang berpatutan bagi membantu meringankan beban pesakit,” ujarnya.
Tambah Hajiji, Kerajaan Negeri sendiri telah menyumbang 100 unit mesin hemodialisis bernilai RM4.5 juta kepada 23 hospital kerajaan dan dua klinik kesihatan di seluruh Sabah pada 2024 bagi membantu meningkatkan akses rawatan kepada rakyat.
Di samping itu juga, langkah KOPEKS meneroka bidang import dan eksport, khususnya ke Brunei Darussalam, merupakan strategi tepat bagi membuka peluang perdagangan rentas sempadan memperluaskan pasaran produk tempatan serta memperkukuhkan jaringan kerjasama serantau.
“Usaha berkenaan selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” ujarnya lagi.
Hajiji turut menyeru agar lebih ramai penjawat awam, khususnya generasi baharu agar menyertai KOPEKS bagi memperkukuhkan kedudukan koperasi itu sebagai model koperasi berjaya yang bukan sahaja membangunkan ekonomi anggotanya, malah menyumbang kepada kemajuan Sabah secara menyeluruh.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada lima orang asnaf serta Sekolah Kebangsaan Kg. Binsulok, selain tiga buah masjid iaitu Masjid Al Hidayah, Topokon Tamparuli, Masjid Nur Ehsan, Kg Tempurong Kuala Penyu dan Masjid Haji Puteh, Kg. Pulau Simpangan, Tuaran serta Surau Al Jannah, Taman Sepanggar Menggatal./Penerangan–



