Annuar (empat dari kiri) ketika menyampaikan cenderahati kepada Tun Musa.
KOTA KINABALU : Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) memperkukuhkan kerjasama bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) serta beberapa agensi lain dalam usaha memperkasa sektor tenaga di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Annuar Ayub berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan pelaksanaan projek tenaga yang dirancang dapat memberi manfaat kepada negeri ini.
Annuar turut memaklumkan SEC telah merangka pelan pembangunan bagi tempoh lima tahun merangkumi projek tenaga untuk pembangunan negeri selain membantu mengatasi masalah tenaga di Sabah.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Beliau menjelaskan kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkenalkan barisan ahli-ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan SEC, selain memberi taklimat mengenai perkembangan semasa syarikat serta hala tuju pada masa hadapan.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi SEC, Datuk Hassan A Gani Pg Amir; Ahli Lembaga Pengarah SEC, Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman yang juga Pengerusi Asian Supply Base (ASB),
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah; Datuk Afizal Aldin, Ir. Ts. Rohan Ahmat, Omar Salim Saidin dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Ts. Ahmad Jafar./Penerangan–



