ADVERTISEMENTspot_img

Zainudin Aman Ganti Safar Untong Sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Zainudin Aman sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) yang baharu berkuat kuasa 29 Jun 2026, bagi menggantikan Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 28 Jun ini selepas menerajui perkhidmatan awam negeri sejak 2019.

Zainudin yang kini menyandang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan mengambil alih jawatan tertinggi dalam pentadbiran negeri itu bagi meneruskan agenda transformasi serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, dengan pelantikan itu, beliau berharap Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan terus maju, dinamik dan berdaya saing dalam melaksanakan transformasi pentadbiran negeri ke arah kecemerlangan yang berterusan.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan dasar serta agenda pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kemakmuran rakyat dan kemajuan negeri Sabah.

Pada masa sama, Hajiji berkata kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar atas khidmat bakti cemerlang yang telah dicurahkan sepanjang memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau berkata Safar telah melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh dedikasi, profesionalisme, kebijaksanaan dan integriti sejak dilantik ke jawatan tersebut pada tahun 2019.

Sementara itu, Safar turut diberikan tanggungjawab baharu apabila dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Jabatan Ketua Menteri, berkuat kuasa 1 Jun 2026.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN