ADVERTISEMENTspot_img

Lelaki Ditemui Maut di Hutan Penampang Dipercayai Dihempap Pokok Ditebang Sendiri

Anggota polis bersama bomba mengusung mayat seorang lelaki yang ditemui maut di kawasan hutan Kampung Togudon, Penampang, pagi tadi.

PENAMPANG,: Seorang lelaki ditemukan maut di kawasan hutan Kampung Togudon di sini pagi tadi, dipercayai akibat dihempap pokok yang ditebangnya sendiri ketika menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata polis menerima laporan mengenai penemuan mayat lelaki tempatan berusia 48 tahun itu pada awal pagi.

Beliau berkata mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di atas laluan kebun oleh penduduk kampung kira-kira jam 6 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat oleh ahli keluarganya pada petang 10 Jun lalu sebelum memasuki kawasan hutan bagi memeriksa dan menjaga pukat kelawar miliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan sebuah mesin pemotong kayu (chainsaw) serta beberapa barangan peribadi milik mangsa berhampiran tempat mayat ditemui.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah akibat dibidas oleh pokok yang ditebang sendiri ketika melakukan aktiviti di kawasan tersebut.

Katanya, pemeriksaan tempat kejadian telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang dengan bantuan Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

“Setakat ini, hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian berkenaan,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN