ADVERTISEMENTspot_img

Polis Tumpas Aktiviti Sabung Ayam di Penampang, Tiga Lelaki Ditahan

BERTANDA X…. Individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan sabung ayam ditahan polis dalam serbuan Ops Dadu di Kampung Buit Hills, Penampang.

PENAMPANG: Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan perjudian sabung ayam dalam satu operasi khas Ops Dadu di Kampung Buit Hills, di sini, Ahad lalu, dengan penahanan tiga lelaki tempatan serta rampasan lapan ekor ayam dan wang tunai dipercayai berkaitan aktiviti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihak polis.

Menurutnya, lokasi yang diserbu merupakan sebuah rumah kampung tanpa nombor yang dipercayai digunakan sebagai tempat menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam.

“Semasa serbuan dijalankan, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. Bagaimanapun, hasil tindakan pantas pasukan serbuan, tiga lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 40 tahun berjaya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas lapan ekor ayam hidup, satu gelung getah yang dipercayai digunakan sebagai gelanggang sabung ayam, beberapa peralatan berkaitan serta wang tunai berjumlah RM606 yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian tersebut.

Kesemua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Hasil semakan mendapati ketiga-tiga individu yang ditahan tidak mempunyai rekod sabitan jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mereka menunjukkan keputusan negatif.

Sammy berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana disyaki melibatkan perbuatan penganiayaan haiwan melalui aktiviti sabung ayam.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen polis dalam membanteras sebarang bentuk perjudian haram dan aktiviti yang melibatkan penganiayaan haiwan serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan undang-undang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN