Bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Ranau yang dibina berhampiran Padang Golf Kg.Pasir Putih Ranau
RANAU: Mahkamah Anak Negeri (MAN) Ranau kini beroperasi di bangunan baharu yang lebih selesa dan lengkap selepas berpindah ke premis tetap bernilai RM5 juta yang dibiayai menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Bangunan yang terletak di atas tapak seluas dua ekar kira-kira 1.8 kilometer dari pekan Ranau itu mula digunakan pada 6 Jun 2025 dan menempatkan dua Ketua Daerah (KD), 12 Ketua Anak Negeri (KAN) serta disokong oleh 44 Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) di seluruh kawasan Parlimen Ranau.
Sebelum ini, MAN Ranau beroperasi di bangunan Pejabat Daerah Ranau. Perpindahan ke bangunan baharu itu membolehkan perkhidmatan kepada masyarakat dipertingkatkan menerusi penyediaan ruang pejabat yang lebih kondusif, kemudahan yang lengkap serta akses yang lebih mudah kepada penduduk setempat.
Ketua Daerah Ranau, Muhasip Haji Roman berkata, kejayaan MAN Ranau hari ini adalah hasil kerjasama erat dan komitmen semua pihak yang sentiasa menyokong usaha memperkasakan institusi adat di daerah berkenaan.
“Dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada semua pihak, MAN Ranau berjaya merangkul dua anugerah utama pada peringkat negeri bagi tahun 2025 iaitu Anugerah Pengurusan Terbaik dan Anugerah Ketua Daerah Terbaik Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Tadau Kaamatan MAN Ranau yang diadakan di dewan bangunan baharu itu, baru-baru ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Datuk Amisah Yassin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri (JHEAN) Sabah, Nordin Lossin; serta pelbagai pihak lain yang telah menyumbang sokongan, pandangan dan idea dalam memajukan MAN Ranau.
Menurutnya, komitmen berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan institusi Mahkamah Anak Negeri terus relevan dan berupaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya dalam memelihara adat istiadat serta keharmonian komuniti pelbagai kaum di daerah itu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Daerah Ranau, Dominic Ganie, Ketua Polis Daerah Ranau Supt. Mursalin Mahmud, mantan Pegawai Daerah Ranau Datuk Haji Faimin Kamin, para Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, ketua kampung dan ketua adat dari seluruh daerah Ranau.



