PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditemukan maut berhampiran lobi sebuah kondominium di daerah ini hari ini, dipercayai selepas terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 26 bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton dalam kenyataan memaklumkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari unit kediaman tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu”
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,,” katanya dalam kenyataan hari.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis serta menghentikan penyebaran gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Patrick Duffy Francis di talian 013-838 5335 atau IPD Penampang di talian 088-712222 bagi membantu siasatan.



