ADVERTISEMENTspot_img

LELAKI DIPENJARA 24 BULAN KERANA CURI ELEKTRIK

Suspek (kanan)

TAWAU: Mahkamah Sesyen Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri selepas mengaku bersalah atas kesalahan mencuri elektrik melalui sambungan haram di sebuah penempatan setinggan di Semporna.


Tertuduh, Abdul Hamid Siddiq, didakwa mengikut Seksyen 61(1) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (EBE 2024) kerana terlibat dalam aktiviti penyambungan bekalan elektrik secara tidak sah.


Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 61(1) dan enam bulan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 61(8), dengan kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak.


Mengikut EBE 2024, kesalahan di bawah Seksyen 61(1) memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 61(8) memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie.


Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata kes berkenaan merupakan kes ketiga yang didakwa tahun ini membabitkan sambungan elektrik haram di kawasan setinggan dan yang pertama berakhir dengan hukuman penjara.


Beliau berkata hukuman itu membuktikan mahkamah memandang serius kesalahan mencuri elektrik dan membuat sambungan haram yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity (SE), malah berpotensi menjejaskan kestabilan sistem bekalan elektrik.


“Selain itu, sambungan haram turut mengundang risiko renjatan elektrik dan kebakaran yang boleh mengancam keselamatan nyawa serta harta benda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Abdul Nasser menegaskan ECoS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan bekalan elektrik dan akan terus mempergiat operasi bersepadu bersama SE serta agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras kegiatan penyambungan elektrik secara haram.


Menurut beliau, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan berkenaan bagi memastikan keselamatan awam dan integriti sistem bekalan elektrik di Sabah terus terpelihara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN