Sebahagian Petrol yang disyaki disimpan tanpa permit KPDN dirampas
LABUAN: Seorang lelaki tempatan bersama 750 liter Petrol ditahan disebuah jeti tidak berdaftar di kampung Sungai Keling pada 3 Jun lalu.
Lelaki berumur 39 tahun iti ditahan dalam satu serbuan Ops Tiris 4.0 yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata serbuan yang dilaksanakan sekitar jam 2 petang itu adalah hasil maklumat risikan yang dijalankan berhubung aktiviti penyimpanan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran di lokasi berkenaan.
“Dalam operasi tersebut, anggota penguat kuasa KPDN telah menemui 20 gelen dan dua (2) drum yang mengandungi cecair disyaki petrol yang dianggarkan sebanyak 750 liter bernilai sekitar RM2, 940.00”, katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin
Jelasnya, kesemua barang kes telah disita untuk tindakan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
Manakala lelaki yang ditemui di lokasi kejadian turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan dan penyimpanan barang kawalan berjadual tersebut.
Junaidah berkata, KPDN Labuan memandang serius sebarang bentuk penyelewengan melibatkan barang kawalan dan akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi memastikan bekalan bersubsidi serta barang kawalan berjadual tidak disalah guna atau diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Junaidah berkata, jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.



