ADVERTISEMENTspot_img

Bukan Lebuh Raya, Cuma Minta Laluan Alternatif Diaspal: Japiril

Keadaan ‘Jemm’ di Kundasang terus berlarutan


KUNDASANG: Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Kundasang Ranau, Datuk Japiril Suhaimin, hari ini menyuarakan desakan agar laluan alternatif sepanjang kira-kira 5 kilometer dari Pinausok – Semuruh – Kinandusan ke Kundasang segera diaspal.


Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak meminta pembinaan lebuh raya baharu, sebaliknya hanya menuntut penambahbaikan jalan sedia ada yang telah dibiarkan sebagai jalan gravel sejak tahun 1980-an.


Japiril menggariskan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di Kundasang, terutamanya di Bulatan Pitcai dan Bulatan Kobis, khususnya ketika musim cuti panjang.


Beliau berkongsi pengalaman peribadinya, di mana perjalanan sejauh 7.3 km dari Pinausok ke Kundasang melalui laluan utama mengambil masa hampir 44 minit. Namun, dengan menggunakan laluan alternatif Pinausok – Semuruh – Kinandusan, perjalanan yang sama hanya memakan masa sekitar 15 minit.


“Ini membuktikan satu perkara yang jelas, laluan alternatif yang lebih cepat sebenarnya sudah ada, tetapi masih dibiarkan sebagai jalan gravel sejak sekitar tahun 1980-an,” kata Japiril.

Beliau menambah bahawa laluan ini tidak memerlukan pelebaran besar atau pembinaan baharu, menjadikannya penyelesaian yang kos efektif.


Menurut beliau, kos menaik taraf laluan tersebut mungkin kurang daripada RM6 juta, kerana ia hanya melibatkan kerja pengaspalan tanpa pembinaan struktur baharu atau pelebaran jalan secara besar-besaran.


Japiril mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan sebahagian kecil daripada peruntukan interim RM1.5 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk tujuan ini.


Penambahbaikan laluan ini bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan, malah turut membantu pergerakan kenderaan kecemasan seperti ambulans dan bomba, serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.


Sebagai salah satu destinasi pelancongan utama Sabah, Kundasang memerlukan infrastruktur jalan yang lebih cekap bagi menyokong pembangunan ekonomi, sektor pelancongan, dan kesejahteraan masyarakat setempat.


Japiril menyeru pihak berkaitan, Kerajaan Negeri Sabah, serta wakil rakyat Kundasang yang juga Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya, agar memberi perhatian serius terhadap perkara ini. “Rakyat sudah menunggu terlalu lama. Sekarang masa untuk bertindak,” tegas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN