Pegawai Penguatkuasa KPDN Labuan ketika mengeluarkan kompaun kepada peniaga runcit berkenaan.
LABUAN: Akibat melanggar peraturan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Gawai seorang peniaga runcit di Labuan dikenakan kompaun oleh pihak KPDN.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, peniaga runcit itu dikenakan kompaun selepas didapati tidak mematuhi syarat pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan Gawai 2026
Katanya tindakan penguatkuasaan tersebut diambil hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa KPDN di beberapa premis perniagaan sekitar bandar Labuan sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan
“Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menjual barangan harga terkawal tanpa mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu sebagaimana yang diwajibkan sepanjang tempoh SHMMP berkuat kuasa”, katanya dalam satu kenyataan disini, kelmarin.
Tambahnya, kesalahan itu merupakan pelanggaran terhadap Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723]
Junaidah berkata, kegagalan menggunakan tanda harga merah jambu bagi barangan kawalan boleh menimbulkan kekeliruan kepada pengguna selain menjejaskan ketelusan maklumat harga semasa musim perayaan.
“Mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun maksimum RM5,000. Bagi syarikat atau pertubuhan, hukuman denda boleh mencecah RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000”, katanya.
Beliau berkata, KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus memperhebat aktiviti pemantauan dan pemeriksaan pematuhan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta memastikan kebajikan dan hak pengguna sentiasa terpelihara sepanjang tempoh SHMMP dilaksanakan.



