ADVERTISEMENTspot_img

LELAKI DITAHAN, DIESEL BERSUBSIDI BERNILAI LEBIH RM68,000 DIRAMPAS

UBAH SUAI: Polis menunjukan lori rigid satu tan yang telah diubah suai dengan tangki minyak kanvas.

PENAMPANG: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan serta merampas minyak diesel bersubsidi bernilai keseluruhan RM68,645 dalam satu operasi khas Op Tiris yang dijalankan di daerah ini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata suspek berusia 46 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan tanpa permit atau kelulusan sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah menjalankan pemantauan di sebuah stesen minyak di kawasan Penampang sebelum menahan suspek terbabit.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan membeli dan mengumpul minyak diesel secara tidak sah menggunakan sebuah lori rigid satu tan yang telah diubah suai dengan tangki minyak kanvas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi tersebut polis turut merampas kira-kira 300 liter minyak diesel, sebuah lori satu tan, sekeping kad bank, sebuah telefon bimbit serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek bersama barang kes telah diserahkan kepada KPDN Sabah untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan polis akan terus mempergiat operasi serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan dan subsidi kerajaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN