ADVERTISEMENTspot_img

Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Tudangan berlangsung dengan meriah

PENGHARGAAN…….. Datuk Jonathan (tengah) menggendong ‘Saging’ sebagai cenderahati bagi menghargai kehadiran beliau merasmikan majlis tersebut.

Oleh: Salwah Aramat

RANAU: Majlis Sambutan Kaamatan Peringkat Kampung Tudangan telah berlangsung dengan meriah di sini, baru-baru ini, dengan kehadiran penduduk kampung serta para pemimpin masyarakat setempat yang bersama-sama memeriahkan sambutan tahunan itu.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk kampung dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menjelaskan bahawa tema Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’ membawa maksud yang amat besar dalam memperkukuhkan hubungan masyarakat pelbagai latar belakang demi mewujudkan suasana harmoni dan sejahtera.

Menurut beliau, perpaduan serta kerjasama dalam kalangan penduduk kampung amat penting bagi memastikan pembangunan dan kemajuan kampung dapat dicapai secara bersama tanpa mengira perbezaan pendapat mahupun pegangan politik.

Katanya lagi, masyarakat perlu terus bersatu hati dan saling membantu demi kesejahteraan bersama kerana semangat kebersamaan menjadi asas utama dalam membentuk komuniti yang kuat dan progresif.

Beliau turut menegaskan bahawa seseorang pemimpin harus bersikap adil dan tidak memilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, selain sentiasa mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

Sempena majlis tersebut, Jonathan turut mengumumkan bantuan dana sebanyak RM10,000 kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tudangan bagi membantu melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan kampung.

Beliau berharap bantuan dana itu dapat meringankan beban yang dihadapi masyarakat kampung, di samping memberi manfaat kepada penduduk setempat.


Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa pihak Pejabat Parlimen Ranau akan terus berusaha membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan berkaitan keperluan asas yang dihadapi penduduk Kampung Tudangan berdasarkan kemampuan dana yang ada pada masa akan datang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN