ADVERTISEMENTspot_img

LELAKI BERREKOD KES BUNUH DISIASAT PUKUL, UGUT BUNUH PEMUDA DI RANAU

Suspek ditangkap oleh anggora polis pada pagi Jumaat di sebuah rumah tidak bernombor

RANAU: Seorang lelaki berusia 19 tahun mengalami kecederaan fizikal dan diugut bunuh dalam satu insiden mengejutkan yang berlaku di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang, Ranau, pada petang 19 Mei 2026.

Suspek utama, lelaki Dusun berusia 35 tahun, yang didapati mempunyai rekod lampau serius termasuk kes bunuh, disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah.

Ketua Polis Daerah Ranau, Supt. Mursalin Mahmud, dalam satu kenyataan rasmi hari ini, mengesahkan insiden tersebut dan menegaskan bahawa pihak polis memandang serius kes berkenaan.

“Pada 21 Mei 2026, kira-kira jam 3.56 petang, satu laporan polis telah diterima daripada mangsa yang menyatakan beliau dipukul dan diugut oleh seorang lelaki yang dikenalinya,” katanya.

Menurut beliau, kejadian berlaku pada 19 Mei lalu, kira-kira jam 6 petang, ketika mangsa yang bekerja sebagai penimbang sawit sedang membeli barangan dapur di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang.

“Mangsa secara tidak sengaja terserempak dengan suspek sebelum lelaki itu tiba-tiba memarahi mangsa tanpa provokasi jelas.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek turut mengeluarkan sebuah buku lima berwarna keemasan sambil mengugut mangsa dengan kata-kata berbaur ancaman,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian menyimpan semula buku lima tersebut ke dalam poket seluar sebelum bertindak menumbuk dan menendang mangsa berkali-kali.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami luka di bahagian bibir selain sakit berpanjangan pada bahu kiri dan belakang badan. Mangsa juga telah mendapatkan rawatan perubatan dan laporan perubatan akan dijadikan sebahagian daripada bahan bukti siasatan.

Mursalin berkata, semakan turut mendapati suspek yang beralamat di Kampung Matupang dan Kampung Terikon mempunyai rekod lampau serius membabitkan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan bunuh pada 29 Oktober 2014.

“Kes berkenaan bagaimanapun telah selesai,” katanya.

Beliau berkata, Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan pula, hukuman boleh mencecah penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Jika ugutan melibatkan ancaman bunuh atau cedera parah, hukuman penjara boleh meningkat sehingga tujuh tahun,” katanya.

Menurutnya, polis kini menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan keadilan ditegakkan serta keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Ranau sentiasa terpelihara,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN