ADVERTISEMENTspot_img

Kejohanan Borneo Mastery Grassroot Cup 2026 Cungkil Bakat Bola Sepak Muda

Aksi antara pasukan U11 Mastery FC (Putih) vs KB Soccer.

KOTA KINABALU: Kejohanan Borneo Mastery Grassroot Cup 2026 yang berlangsung baru-baru ini berjaya menghimpunkan 31 pasukan bola sepak akar umbi bagi kategori Bawah 11 Tahun (U11) dan Bawah 9 Tahun (U9) di Padang Kontena Fut8 UTC Sembulan, di sini.

Kejohanan itu dirasmikan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah, yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasa pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini.

Sebanyak 22 pasukan bersaing dalam kategori U11 manakala sembilan pasukan lagi mengambil bahagian dalam kategori U9, melibatkan penyertaan dari seluruh Sabah serta pasukan jemputan dari luar negara.

Inter United FC dari Keningau muncul juara kategori U11.

Dalam kategori U11, Inter United FC dari Keningau muncul juara selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan. Pasukan itu membawa pulang trofi, medal, sijil penyertaan serta wang tunai RM1,000.

Selain itu, Inter United FC turut menerima tajaan yuran pendaftaran kejohanan The Maxim x A.R.E.A. International Cup bernilai USD650 yang dijadual berlangsung pada 1 dan 2 Jun ini, hasil tajaan Shadow Striker FA dari Brunei Darussalam.

Old KK Junior Inferno dari Kota Kinabalu pula muncul naib juara manakala tempat ketiga menjadi milik Brazilian Football Academy dari Brunei Darussalam.

Ratsel FJ dinobatkan sebagai juara kategori U9.

Bagi kategori U9, Ratsel FJ dinobatkan sebagai juara, diikuti SK Likas FC selaku naib juara dan Laba FC di tempat ketiga.


Penganjuran kejohanan itu dilihat sebagai platform terbaik dalam mencungkil bakat baharu bola sepak akar umbi selain memupuk semangat kesukanan, disiplin dan hubungan persahabatan dalam kalangan pemain muda dari pelbagai daerah serta negara jiran.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan, jurulatih, ibu bapa dan penyokong yang bersama-sama menjayakan kejohanan berkenaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN