ADVERTISEMENTspot_img

SAMBUTAN AIDILFITRI DAN KAAMATAN KAMPUNG KITUNTUL LAMA PUPUK SEMANGAT PERPADUAN

SIMBOLIK……..Datuk Jonathan mendahului paluan gong secara bergilir dengan tetamu yang lain sebanyak tujuh kali sebagai simbolik perasmian majlis tersebut.

RANAU: Sambutan berkembar Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Kituntul Lama 2026 berlangsung meriah dan penuh muhibah apabila berjaya menghimpunkan penduduk pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian komuniti setempat.

Majlis berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Jonathan Yasin yang turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur serta penduduk kampung atas komitmen menjayakan program berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau berkata penganjuran sambutan seumpama itu mampu memperlihatkan kesatuan dan kerjasama erat dalam kalangan penduduk Kampung Kituntul Lama tanpa mengira latar belakang agama dan budaya.

Menurut beliau, amalan bergotong-royong serta semangat permuafakatan yang diamalkan masyarakat kampung menjadi elemen penting dalam memperkukuh perpaduan selain mengeratkan hubungan silaturahim sedia terjalin.

Pada majlis itu, Jonathan turut mengumumkan sumbangan dana sebanyak RM7,000 kepada persatuan kampung bagi membantu pelaksanaan aktiviti komuniti, selain RM3,000 untuk kerja penambahbaikan gelanggang bola tampar kampung berkenaan.

Beliau berkata sebarang permohonan pembangunan yang melibatkan kos besar seperti pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya akan diusahakan menerusi kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Pejabat Daerah Ranau bagi memastikan keperluan rakyat terus diberi perhatian.

Tambahnya, Pejabat Parlimen Ranau akan terus berusaha membantu penduduk setempat mengikut kemampuan semasa khususnya dalam aspek pembangunan komuniti dan kebajikan masyarakat luar bandar.

Antara pengisian menarik sepanjang program itu termasuk pertandingan ‘Best Traditional Dress’ bagi kategori lelaki dan wanita berusia 50 tahun ke atas, pertandingan Ratu Fesyen Kanak-kanak serta pertandingan Tanganak Tavantang bagi kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun.

Turut hadir Pembantu Menteri kepada ADUN N.38 Paginatan, Pettin Kilou yang mewakili ADUN N.38 Paginatan, Rusdin Riman, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, Pengerusi JPKK Kampung Kituntul Lama, Fredoline Gabriel serta Ketua Kampung Kituntul Lama, Majiri Bulongik.

Oleh Salwah Aramat

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN