Peter Chi (tengah) menunjukan laporan polis bersama ahli ahlinya pada sidang media itu.
LABUAN: Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Nelayan Komersial Labuan mengalami kerugian lebih RM100, 000 apabila dua buah lori milik persatuan itu mengalami kerosakan teruk disyaki akibat perbuatan khianat dengan membakar dan merosakan lori berkenaan.
Sehubungan dengan kejadian itu, Persatuan itu telah membuat laporan polis bagi menyiasat kejadian tersebut yang dilakukan berulang kali pada 13 dan 14 Mei lalu dan terbaru pada 17 Mei dengan membakar lori berkenaan.
Pengerusinya Peter Chi Kain Sang berkata persatuan tersebut bimbang dengan kejadian berulang itu, yang menyaksikan sebuah lori musnah sepenuhnya akibat terbakar manakala sebuah lagi terbakar kira-kira 10 peratus dan dipercayai mengalami kerosakan selepas beberapa kabelnya dipotong hingga tidak dapat digunakan.
Peter berkata persatuan itu turut menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu yang dapat menyalurkan maklumat sahih bagi membantu siasatan polis.
“Ini merupakan kejadian pertama seumpamanya dan perkara ini telah dibincangkan bersama ahli persatuan bagi mencari penyebab kejadian yang disifatkanya sebagai kegiatan khianat, namun setakat ini kami tidak menemukan sebarang petunjuk.

Keadaan lori yang dipercayai dibakar.
“Kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin,
Chi berkata insiden pertama berlaku pada 9 malam, 13 Mei lepas di Jalan Ujung Pasir berdekatan jeti nelayan lama, tempat lori itu diletakkan.
Beliau berkata kejadian kedua berlaku berdekatan kawasan parkir Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kiamsam, manakala insiden ketiga pada 17 Mei di Jalan Ujung Pasir membabitkan lori berbeza yang terbakar sepenuhnya.
Beliau berkata insiden berulang itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengusaha ikan komesial memandangkan lori sangat penting untuk mengangkut produk perikanan dan bekalan mereka serta aktiviti berkaitan logistik lain.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Labuan Deputi Superintendan Robin @ Ridzuan Ismail mengesahkan menerima laporan polis berhubung perkara tersebut dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata siasatan terperinci akan dijalankan dan menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil bagi membantu siasatan.



