JUARA…Isran (kiri) menerima hadiah ketagori Gross yang disampaikan Hj.Zainurin sambil diiringi Julbbie
RANAU: Pemain muda, Isran Hadimpin mempamerkan aksi konsisten untuk muncul juara kategori Gross pada Kejohanan Mini Golf Kaamatan anjuran Kelab Mansau-Ansau yang berlangsung di Mount Kinabalu Golf Club, di sini hari ini.
Isran menamatkan saingan dengan catatan 76 pukulan gross bagi mengatasi pencabar terdekatnya, Julbbie Sani yang mencatat 78 gross untuk menduduki tempat kedua, manakala Hamiri Sani berada di kedudukan ketiga selepas menutup pusingan dengan 79 gross.
Bagi kategori Nett pula, pemain senior Mohd Imran Poumin tampil cemerlang apabila mencatat sembilan (9) bawah par (63 nett) untuk dinobatkan sebagai juara.

IMRAN (kiri)..Juara Nett
Sajili Satimin meraih tempat kedua selepas mengakhiri permainan dengan dua (2) bawah par, sementara Azrey Ramlee menduduki tempat ketiga hasil permainan konsisten serta berjaya mempertahankan baki handicap sehingga tamat 18 lubang dengan catatan satu (1) bawah par.
Kejohanan itu turut menyaksikan beberapa hadiah teknikal dipertandingkan, termasuk anugerah longest drive yang dimenangi Anas Kibin apabila melakukan pukulan sejauh 310 meter.
Sementara itu, gelaran “wooden spoon” atau pemain di kedudukan kedua tercorot menjadi milik Aduka Jasnin Suman.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan Pengerusi Kelab Mansau-Ansau, Haji Zainurin Sahat.

Terdahulu, Zainurin berkata penganjuran kejohanan secara santai itu bukan sahaja mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli kelab dan peminat golf di daerah Ranau, malah menjadi platform mengasah bakat serta meningkatkan mutu permainan pemain tempatan.
Beliau berkata, kejohanan mini seumpama itu juga penting sebagai medan persediaan kepada pemain sebelum menyertai kejohanan pada peringkat lebih tinggi.
“Penganjuran kejohanan seperti ini akan diteruskan dengan memilih beberapa lapangan golf di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, malah termasuk luar negara, selaras dengan nama kelab Mansau-Ansau yang membawa maksud ‘berjalan-jalan’,” katanya.



