ADVERTISEMENTspot_img

KEPIMPINAN WANITA PERLU DIPERKASA DENGAN ILMU, MAKLUMAT DAN HUBUNGAN KOMUNITI

Azizah

KENINGAU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) menerusi Inisiatif Kepimpinan Wanita (WLIC) terus komited memperkasa kepimpinan wanita di negeri ini menerusi penganjuran Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 2 yang berlangsung di Keningau.


Lailawati Datuk Bahrom (IDS BOD & WLIC Comitee Member) mewakili Pengerusi IDS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun menyampaikan salam serta memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam majlis perasmian penutupan bengkel berkenaan.

Dalam amanat beliau, Azizah merakamkan penghargaan kepada Puan Salmah Sait serta seluruh Jawatankuasa Pelaksana atas usaha menjayakan bengkel tersebut yang disifatkan sebagai platform penting dalam melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa di Sabah.

Menurut beliau, bengkel itu merupakan kesinambungan program yang sebelum ini telah diadakan di Kota Kinabalu pada 25 April lalu melibatkan peserta dari Parlimen Putatan, Penampang, Sepanggar dan Kota Kinabalu.

Katanya, penganjuran bengkel berkenaan bertujuan mempersiapkan pemimpin wanita di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen agar lebih bersedia serta berkesan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Beliau turut menegaskan bahawa terdapat tiga asas utama yang perlu dimiliki setiap pemimpin wanita iaitu ilmu, maklumat dan hubungan erat dengan komuniti.

“Sebagai pemimpin, kita mesti sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan tidak pernah berasa cukup dengan apa yang dimiliki. Pemimpin yang berilmu akan lebih berwibawa serta mampu memimpin dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin juga perlu mempunyai maklumat yang tepat dan sahih bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Selain itu, hubungan baik bersama komuniti juga amat penting terutama bagi pemimpin akar umbi kerana hubungan yang mesra dan rapat mampu membina kepercayaan serta sokongan masyarakat.

Dalam program tersebut, peserta turut didedahkan dengan pelbagai perkongsian ilmu oleh Perunding Latihan Kanan M13 dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah, Encik Josliw Matjumping serta Encik Zainald Zainuddin dari IDS.

Azizah berharap segala ilmu dan pengalaman yang dikongsikan sepanjang bengkel itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta dalam memperkukuhkan peranan masing-masing sebagai pemimpin wanita di peringkat komuniti.

Beliau turut merakamkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa WLIC IDS atas kejayaan menganjurkan bengkel yang disifatkan amat bermanfaat dalam usaha memperkasakan kepimpinan wanita Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN