ADVERTISEMENTspot_img

Jenggo FT ungguli Piala Jonathan Yasin, kejohanan 9 sebelah meriah di Ranau

JOHAN……..Pasukan Jenggo FT merangkul gelaran Juara merakam gambar bersama Jonathan (empat kiri) di padang Sinarut Ranau.

Oleh: Salwah Aramat

RANAU: Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Jonathan Yasin anjuran Sinarut Football Club berlangsung penuh meriah selama dua hari bermula 1 hingga 2 Mei lalu di Padang Sinarut Baru di sini, sekali gus menyemarakkan lagi perkembangan bola sepak komuniti di daerah ini.

Kejohanan berkenaan berjaya menarik penyertaan pasukan dari dalam dan luar daerah, menjadikan persaingan lebih kompetitif serta mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat sukan tempatan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin pada hari pertama kejohanan. Dalam ucapannya, beliau berkata penganjuran kejohanan seumpama itu bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah berperanan mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain serta komuniti setempat.

Menurutnya, platform sukan turut membuka ruang kepada peserta untuk memperluas jaringan kenalan selain menyemai semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian termasuk yang hadir dari luar daerah.

Antara pasukan luar yang menyertai kejohanan ialah Jenggo FT (Papar), Massa FT X Kickers (Kota Marudu), Kesatria (Kota Belud), ONID FT (Tuaran) serta Lamasia (Tongod), yang berjaya meningkatkan intensiti saingan sepanjang kejohanan berlangsung.

NAIB JOHAN……..Pasukan Massa FT X Kickers dari Kota Marudu membawa pulang seribu kenangan dan kegembiraan.

Bagi kategori pasukan tempatan Ranau, sebanyak 14 pasukan bertanding termasuk Sinarut Team, Matra Mix, Sinar Villa, Liwagu FC, Tona FC, Malinsau FC, Ranau JAF FT, Sipkan FC, Poskop FC, Nomad FT, R&J FT, Kibara FC, Tinatak FT dan KBKPS, menjadikan keseluruhan 19 pasukan berentap merebut kejuaraan.

Dalam aksi final yang sengit, Jenggo FT muncul sebagai juara selepas menampilkan persembahan cemerlang, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta medal dan piala.

Massa FT X Kickers pula muncul naib juara dengan membawa pulang RM1,500, manakala tempat ketiga bersama menjadi milik Sinarut Team dan Matra Mix yang masing-masing menerima RM800 berserta medal dan piala.

Dalam pada itu, Leopole Alfonso dari Jenggo FT dinobatkan sebagai Pemain Terbaik, manakala rakan sepasukannya, Agustinus Mohd. Hassan, menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik.

Sinarut Team pula diiktiraf sebagai Pasukan Terbaik kejohanan hasil aksi konsisten dan prestasi memberangsangkan sepanjang saingan, sekali gus mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN