ADVERTISEMENTspot_img

Menuai Pisompuruan, Merayakan Piunungan: Menimbang Semula Identiti Sepunya Kaamatan

Ramzah Dambul


MENURUT pandangan Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), tradisi autentik Kaamatan berpasak kukuh pada sistem ekonomi padi yang telah sekian lama membentuk struktur sosial masyarakat pribumi Sabah. Kitaran ini bermula dengan amalan mitatabang (gotong-royong) yang menyatukan tenaga komuniti, sebelum disusuli dengan moginakan (kenduri gadang) sebagai lambang kesyukuran kolektif. Dua elemen ini, penuaian hasil secara bergilir dan perayaan bersama, bukan sekadar ritual, tetapi mencerminkan falsafah kehidupan yang selari dengan tema Kaamatan masa kini: menuai pisompuruan (perpaduan) dan meraikan piunungan (keharmonian).


Bertitik tolak daripada semangat tersebut, beliau menyuarakan harapan agar Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) berani melakukan anjakan signifikan dengan menilai semula penggunaan istilah “KDMR”. Menurutnya, istilah ini semakin tidak relevan dalam konteks semasa kerana sifatnya yang tidak inklusif, sekali gus berpotensi meminggirkan kelompok etnik tertentu secara sistemik.


Hakikatnya, Kaamatan merupakan perayaan bersama bagi masyarakat pribumi agrarian Sabah yang merangkumi tiga rumpun utama, iaitu Dusunik (Kadazan, Liwan, Lotud, Rungus dan lain-lain), Murutik (Tagal, Tahol, Lundayeh dan lain-lain) serta Paitanik (Tombonuo, Subpan, Mangkaak dan lain-lain). Namun, dalam akronim “KDMR”, Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus, terdapat ketidakseimbangan representasi apabila tiga entiti mewakili rumpun Dusunik, hanya satu mewakili Murutik, manakala rumpun Paitanik langsung tidak diwakili.

Keadaan ini, menurut beliau, menjadikan penggunaan KDMR sebagai identiti generik dalam sambutan Kaamatan cenderung bersifat Dusunik-sentrik dan secara tidak langsung mendiskriminasi komuniti Paitanik. Sedangkan pembentukan identiti sepunya yang benar-benar inklusif merupakan teras penting kepada konsep pisompuruan om piunungan. Isu ini bukan sekadar menyentuh emosi atau sentimen, tetapi berkait rapat dengan prinsip keadilan sosial, memberi ruang yang saksama kepada semua komuniti di bawah satu payung yang benar-benar inklusif.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar KDCA mempertimbangkan pengiktirafan istilah “Momogun” sebagai identiti generik yang lebih menyatukan. Istilah ini telah melalui perbahasan mendalam dalam kalangan pemikir sosiobudaya dan pakar antropologi sejak 2017, menerusi pelbagai seminar, diskusi dan kongres.

Kemuncak perbincangan tersebut tercapai dalam Konvensyen Perdana Momogun yang berlangsung di Penampang pada Ogos 2024, apabila sebanyak 74 persatuan etnik, mewakili secara seimbang komuniti Dusunik, Murutik dan Paitanik, bersetuju menerima pakai “Momogun” sebagai identiti sepunya. Konvensyen yang dirasmikan oleh DSP Masidi Manjun dan ditutup oleh Datuk Ewon Benedick itu menjadi simbol kesinambungan kepimpinan serta kesepaduan aspirasi merentas agama, politik dan generasi.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan istilah “Momogun” tidak sama sekali menjejaskan identiti etnik masing-masing, kerana setiap individu tetap berakar pada suku spesifik mereka. Sebaliknya, Momogun diusulkan sebagai pengganti kepada “KDMR” yang dilihat terlalu sempit dan tidak mencerminkan keseluruhan spektrum komuniti pribumi agrarian Sabah. Malah, KDMR sendiri hanyalah satu akronim tanpa konteks sosiobudaya yang mendalam untuk diangkat sebagai identiti kolektif.

Dalam dimensi yang lebih luas, kepentingan satu identiti sepunya yang inklusif bukan hanya terhad kepada konteks perayaan Kaamatan, tetapi juga dalam pembentukan dasar awam. Dalam dunia polisi, angka menjadi asas utama. Apabila sesuatu komuniti dipecahkan kepada kategori kecil yang berasingan, setiap satu kelihatan kurang signifikan, sekali gus menyukarkan perancangan intervensi dan peruntukan yang bersasar.

Sebagai perbandingan, model pengelompokan ini telah lama diamalkan di tempat lain. Di Semenanjung Malaysia, pelbagai sub-etnik seperti Jakun, Senoi dan Semai dihimpunkan di bawah kategori “Orang Asli” sebagai asas perancangan dasar. Di Sarawak pula, pelbagai etnik pribumi agrarian bernaung di bawah identiti “Dayak”. Pendekatan ini membolehkan data dikumpul secara lebih tersusun dan seterusnya memudahkan penggubalan dasar yang lebih efektif.

Dalam konteks Sabah, ketiadaan satu definisi populasi yang jelas—mengambil kira variasi demografi dan geografi, menjadi cabaran dalam menangani isu seperti kemiskinan luar bandar, akses ekonomi dan pendidikan. Oleh itu, konsep Momogun dilihat berpotensi menjadi “common denominator” yang penting dalam sistem pendataan dan perancangan pembangunan.
Dalam hal ini, peranan KDCA yang diterajui oleh Huguan Siou amat penting. Pengiktirafan rasmi terhadap istilah “Momogun” bukan sahaja mampu memperkukuh keharmonian dalam sambutan Kaamatan, malah memberikan legitimasi institusi kepada satu gerakan akar umbi yang semakin berkembang.

Akhirnya, gagasan ini bukan bertujuan mengubah identiti etnik, tetapi memperkukuh kesatuan dalam kepelbagaian. Dengan satu identiti sepunya yang inklusif, masyarakat Momogun bukan sahaja dapat meraikan Kaamatan dalam semangat pisompuruan, malah tampil lebih signifikan dalam kerangka pendataan dan pembangunan negara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN