KOTA KINABALU: Kerajaan diseru untuk mengambil tindakan menyeluruh bagi menangani isu kelemahan dalam pelaksanaan dan pengurusan hak milik subsidiari hartanah strata yang sekian lama membebankan pembeli rumah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata walaupun kerajaan negeri Sabah menunjukkan kecekapan melalui langkah proaktif mempercepatkan proses tersebut, realiti di peringkat nasional masih jauh daripada memuaskan.
“Komitmen Sabah itu wajar diteladani namun meluahkan kebimbangan apabila masih ramai pemilik rumah terpaksa menunggu bertahun tahun malah ada yang mencecah sehingga sepuluh tahun untuk mendapatkan hak milik individu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Ucapan (RUU) Tanah (Hakmilik Subsidari) 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Khamis.
Menurut beliau, ketiadaan dokumen pemilikan yang sah mendedahkan rakyat kepada pelbagai risiko dan kesukaran.
Ujarnya, pemilik berdepan halangan besar untuk menjual semula unit mereka menguruskan pinjaman bank yang semakin rumit serta terpaksa menanggung kos guaman yang tinggi.
“Keadaan menjadi lebih parah apabila berlaku kematian kerana waris terpaksa mengharungi proses perundangan yang panjang dan memenatkan semata mata untuk menuntut hak pusaka yang sepatutnya sudah jelas sejak awal.
“Kemelut ini berpunca daripada kelemahan pelaksanaan termasuk sikap segelintir pemaju yang culas menjalankan tanggungjawab prosedur kelulusan yang memakan masa terlalu lama serta tindakan penguatkuasaan yang tidak cukup tegas.
“Kesilapan teknikal seperti ralat pada ukuran pelan strata dan kedudukan kawasan bersama sering menjadi punca perbalahan dalam kalangan jiran tetangga sehingga ada kes berlarutan ke mahkamah yang akhirnya menjejaskan nilai hartanah tersebut,” tambah Madius.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran membangkitkan pelbagai isu pengurusan bangunan seperti kegagalan menyelenggara kemudahan asas serta pengurusan kewangan badan pengurusan yang tidak telus.
“Kadar tunggakan yuran penyelenggaraan juga didapati amat membimbangkan apabila direkodkan mencecah dua puluh hingga tiga puluh peratus di sesetengah kawasan perumahan strata.
“Bagi memastikan masalah yang sama tidak berulang beberapa penyelesaian utama untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan,” ujar Pengerusi POIC Sabah itu lagi.
Beliau berkata, antaranya termasuklah menetapkan tempoh masa mandatori bagi pengeluaran hak milik subsidiari serta mengenakan penalti yang lebih tegas kepada pemaju yang ingkar.
“Proses semakan kelulusan pelan diperketatkan bagi mengelakkan kesilapan teknikal di samping memperkasakan tadbir urus badan pengurusan bangunan agar lebih bertanggungjawab dan berkesan.
“Saya berharap, perundangan baharu yang menggantikan enakmen lama tahun 1972 tidak sekadar menjadi dasar yang baik di atas kertas, tetapi dilaksanakan dengan penuh ketegasan dan ketelusan agar setiap rakyat akhirnya mendapat keadilan serta kepastian yang selayaknya,” ujarnya lagi



