ADVERTISEMENTspot_img

Pelancongan Sabah Kekal Berdaya Tahan Meski Berdepan Cabaran Konflik Timur Tengah – Hajiji

Hajiji (kanan) menandatangani plak perasmian Sheraton Kota Kinabalu.3

KOTA KINABALU : Sektor pelancongan Sabah akan terus berdaya tahan meskipun berdepan cabaran susulan konflik semasa di Timur Tengah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, banyak perniagaan perlu mengambil tindakan yang berani dan tegas untuk menangani ketidaktentuan yang bakal tiba akibat konflik tersebut.

“Krisis ini akan mengubah secara asas cara kita beroperasi. Setiap sektor akan terkesan, yang bermakna kita mesti menyesuaikan diri dan berinovasi dalam amalan perniagaan kita.

“Sebagai respon cabaran industri yang muncul susulan konflik Timur Tengah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah proaktif menyusun semula strategi bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi utama, berdaya tahan dan menarik di peringkat global kepada pelancong  dari seluruh dunia.

“Bagi memastikan pengalaman pelawat yang lancar, Kerajaan Negeri sedang mengukuhkan keupayaan Sabah untuk bersaing melalui pelbagai inisiatif strategik.

“Antara inisiatif tersebut adalah menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan global bagi meningkatkan jaringan perhubungan, membangunkan produk pelancongan premium, meningkatkan standard perkhidmatan ke aras antarabangsa, serta menganjurkan acara bernilai tinggi.

“Melalui usaha ini, kita akan meletakkan Sabah sebagai destinasi percutian utama dan juga hab perniagaan yang dinamik,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Sheraton Kota Kinabalu yang diadakan di sini, pada Isnin.

Hajiji turut menzahirkan rasa gembira kerana selain Sheraton Kota Kinabalu, terdapat beberapa hotel lain berada pada pelbagai peringkat pembinaan antaranya Avani, Fairfield by Marriot, Grandis di The Peninsula, Kota Kinabalu, Club Med di Kuala Penyu, InterContinental di Papar dan Wyndham di Semporna.

“Pembangunan ini akan menambah sebanyak 2,740 bilik kepada jumlah inventori sedia ada, sekali gus membuktikan daya tahan dan keyakinan rakan kongsi industri kita walaupun dalam keadaan tidak menentu,” katanya.

Jelasnya, pembangunan hotel-hotel tersebut akan memberikan impak ekonomi yang positif yang tidak boleh dipandang ringan.

“Kita menjangkakan ratusan peluang pekerjaan, bukan sahaja dalam hotel itu sendiri, malah merentasi rantaian bekalan, perkhidmatan dan perniagaan yang berkaitan. Pembekal tempatan, restoran dan tarikan pelancongan akan mendapat manfaat yang besar,” ujarnya.

Tambahnya, pembukaan Sheraton Kota Kinabalu menandakan satu pencapaian penting ketika Sabah ingin memanfaatkan peluang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan yakin akan memainkan peranannya dalam menyerlahkan budaya, warisan serta layanan mesra Sabah.

“Momentum ini akan diteruskan dan menjadi pemangkin kepada persiapan berterusan Sabah bagi Tahun Melawat Malaysia 2027, seterusnya menyampaikan mesej yang jelas bahawa negeri ini terbuka untuk perniagaan serta sedia bersaing di peringkat global,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN