SABAR …. Dr Joachim bersama rombongan melawat ke kawasan tapak kejadian kebakaran yang telah memusnahkan deretan kedai pada petang 1 Mei lalu.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, telah mengadakan lawatan ke Kampung Timbua bagi meninjau sendiri keadaan mangsa-mangsa yang terjejas akibat kebakaran yang memusnahkan deretan kedai di kampung berkenaan.
Semasa lawatan berkenaan, beliau menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam terhadap semua keluarga yang terlibat, selain menyampaikan kata-kata semangat agar mereka terus tabah menghadapi ujian tersebut.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk bertanya khabar serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai keperluan segera mangsa bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan.
Menurut Dr Joachim, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya dalam situasi kecemasan seperti ini, dan akan berusaha membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa kebakaran.
Pada pertengahan April lalu, Dr Joachim telah hadir ke kampung yang sama bagi menyempurnakan Majlis Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Mini Dewan Timbua.
Kehadiran beliau sekali lagi ke lokasi tersebut jelas menunjukkan komitmen berterusan dalam mendekati rakyat serta memahami situasi sebenar di peringkat akar umbi.
Justeru, beliau berharap lawatan tersebut diharap dapat memberi sedikit kelegaan dan semangat baharu kepada mangsa-mangsa yang terjejas, selain memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat dalam menghadapi saat-saat sukar.
Sebelum ini, rombongan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang diketuai Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kundasang, Dounis Sany, bersama Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah Bahagian Kundasang, juga telah turun padang melawat mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga-keluarga yang terlibat.
Dalam kejadian sekitar jam 5.50 petang Jumaat lalu, satu barisan premis kedai runcit jenis separuh kekal dilaporkan musnah sepenuhnya dalam kebakaran, melibatkan kawasan seluas lebih 1,200 meter persegi.
Kejadian tersebut menyebabkan para peniaga dan penduduk kehilangan sumber pendapatan serta harta benda mereka dalam sekelip mata.-ateng



