Ewon menyampaikan bantuan SME-UP 2025 kepada salah seorang usahawan. Pada majlis itu seramai 15 usahawan bagi zon Tenom, Keningau, Nabawan dan Tambunan menerima bantuan SME-UP 2025.
TENOM: Karnival Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menjadi platform penting bagi memasarkan produk usahawan tempatan serta memperluaskan capaian maklumat agensi kerajaan kepada komuniti setempat.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, penganjuran karnival itu merupakan pendekatan kerajaan negeri untuk membantu usahawan mempromosi dan menjual produk mereka secara lebih meluas.
“Ini merupakan satu pendekatan di mana kita merasakan usahawan perlu diberikan ruang melalui karnival seumpama ini untuk mempamer dan menjual produk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Karnival Usahawan PMKS Sabah 2026 Zon Tenom di Pentas Terbuka Padang Bandaran Tenom, di sini, hari ini.
Ewon berkata, selain membuka peluang pemasaran, karnival tersebut turut menghimpunkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan Persekutuan serta negeri bagi menyampaikan maklumat dan inisiatif secara terus kepada usahawan di peringkat daerah.
“Dalam masa yang sama, kita telah mengadakan pameran daripada pelbagai agensi supaya maklumat di bawah tanggungjawab masing-masing dapat disampaikan terus kepada komuniti usahawan,” katanya.
Ewon berkata, karnival di Tenom merupakan lokasi pertama bagi siri jelajah Karnival Usahawan PMKS Sabah 2026, dengan tiga lagi daerah akan menyusul sepanjang tahun ini.
“Pada tahun ini, kementerian akan mengadakan empat karnival seumpama ini sebagai platform kepada usahawan PMKS memasarkan produk mereka, selain membolehkan agensi kerajaan menyalurkan maklumat dan inisiatif masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan dengan dana awal sebanyak RM1 juta bagi membantu usahawan PMKS yang berdepan cabaran semasa.
Selain itu, Ewon berkata, kementeriannya turut melaksanakan jelajah SME Up Sabah yang menawarkan pelbagai bantuan termasuk geran pendaftaran cap dagangan, harta intelek serta pembelian mesin pembungkusan dan pengeluaran.
“Permohonan masih dibuka sehingga 16 Mei ini sebelum kita memproses semua permohonan yang diterima,” katanya.
Beliau berkata, bantuan lain ialah peluang penyertaan usahawan tempatan dalam ekspo antarabangsa serta program bimbingan oleh agensi dan anak syarikat kerajaan seperti SEDCO.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata kerajaan negeri juga meneruskan Jawatankuasa Penyelarasan bersama kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh pembangunan keusahawanan di Sabah.
“Kita berharap melalui penyelarasan ini, manfaat yang lebih besar dapat dinikmati oleh usahawan PMKS di seluruh negeri,” katanya.
Karnival itu dianjurkan oleh MINDET dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, akan berlangsung selama tiga hari bermula semalam (1 Mei) dengan pelbagai pengisian menarik untuk para pengunjung.
Turut hadir, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Jonnybone Kurum, Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin, Pegawai Daerah Tenom merangkap Pengerusi Bersama Karnival Usahawan PMKS Sabah Alexander Liew, ketua-ketua agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta pegawai-pegawai MINDET.



