ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Naik Taraf Paip AC RM28 Juta, Siap Menjelang Awal 2027

KOTA KINABALU: Kerajaan melaksanakan projek menaiktaraf dan penggantian paip jenis asbestos cement (AC) bernilai RM28 juta di daerah ini sebagai langkah menangani isu kebocoran air dengan sasaran siap pada 4 Februari 2027.

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Limus Jury berkata projek yang kini mencapai kemajuan fizikal 7.03 peratus itu memberi tumpuan kepada penggantian paip lama yang dikenal pasti sebagai antara faktor kritikal sistem agihan air.

“Penggunaan paip AC yang usang ditambah dengan sistem pengepaman terus dari loji rawatan air menyebabkan tekanan tinggi kepada rangkaian paip sedia ada. 

“Antara kawasan yang kerap terjejas akibat gangguan ini termasuk Jalan Keramat dan Jalan Tuaran Bypass,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.

Limus turut memaklumkan kerajaan juga merancang projek berskala besar RM200 juta bagi menggantikan paip usang dan menaiktaraf sistem paip transmisi serta agihan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

“Projek ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Tahun 2026 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe13) melalui peruntukan pinjaman Persekutuan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

“Ini dijangka dilaksanakan pada suku keempat 2027 selepas melalui peringkat makmal pengurusan nilai,” ujarnya.

Kontrak penyelenggaraan paip Kota Kinabalu selama tiga tahun yang membolehkan kerja pembaikan segera turut dilakukan untuk mengurangkan kadar aduan gangguan bekalan air di sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Likas./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN