ADVERTISEMENTspot_img

Kaamatan Nabawan–Pagalungan 2026 Disemarakkan dengan Pengisian Warisan dan Semangat Kebersamaan

Marshal (duduk tengah) bersama dengan barisan Ahli Jawatankuasa Penganjur Pesta Kaamatan peringkat Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan.

NABAWAN: Pesta Kaamatan peringkat Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan 2026 bakal berlangsung dengan pelbagai pengisian menarik, sekali gus menyemarakkan warisan, budaya dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Pegawai Daerah Nabawan Ts Marshal Anthony berkata, sambutan yang membawa tema “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” itu akan membuka tirainya pada 2 Mei 2026 menerusi acara Sugandoi Terbuka Kaamatan dan Sugandoi Dazanak yang dijadualkan bermula jam 3.00 petang di Dewan Terbuka Daerah Kecil Pagalungan yang dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Sri Arthur Joseph Kurup yang Ahli Parlimen Pensiangan.

Katanya, pada 8 Mei 2026, acara Sukan Rakyat akan diadakan seawal jam 7.30 pagi di Kompleks Sukan Daerah Nabawan, melibatkan penyertaan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti riadah dan tradisional yang mengeratkan hubungan silaturahim.

Menurutnya, sukan rakyat ini dijangka akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bobbey A. Suan.

Sementara itu katanya, kemuncak sambutan dijadual berlangsung pada 9 Mei 2026 (Sabtu) dengan acara perasmian Pesta Kaamatan bermula jam 8.00 pagi di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan yang akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).

“Acara kemuncaknya dijangka menghimpunkan pelbagai persembahan kebudayaan dan aktiviti menarik selain pertandingan Unduk Ngadau yang menjadi acara kemuncak sambutan Pesta Kaamatan” jelasnya.

Sehubungan dengan ini katanya, bagi pihak penganjur, beliau berharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan tersebut, di samping menghayati keunikan budaya serta memperkukuh perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di daerah ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN