ADVERTISEMENTspot_img

Ewon salur sumbangan sejumlah RM70,000 kepada KLF dan Persatuan Pesara Penampang

MEWAKILI EWON…Bryan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Kadazandusun Language Foundation (KLF) dan Persatuan Pesara Penampang

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyalurkan sumbangan berjumlah RM70,000 kepada Kadazandusun Language Foundation (KLF) dan Persatuan Pesara Penampang bagi menyokong pelaksanaan program komuniti melibatkan bahasa dan kebajikan masyarakat di daerah ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, peruntukan itu diharap dapat membantu menjayakan pelbagai inisiatif yang dirancang oleh penerima.

“Saya menyampaikan sumbangan daripada peruntukan Ahli Parlimen sebanyak RM50,000 kepada KLF sepertimana komitmen saya semasa menyempurnakan sambutan International Mother Language Day pada Februari lepas.

“Seterusnya sumbangan sebanyak RM20,000 iaitu penyaluran awal kepada Persatuan Pesara Penampang sepertimana komitmen saya dalam pertemuan dengan persatuan sebelum ini.

“Saya berharap peruntukan ini dapat membantu pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang bakal dianjurkan oleh kedua-dua pertubuhan,” katanya.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang, Bryan Matasing, mewakili beliau, di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Penampang, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLF, Rita Lasimbang merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Datuk Ewon.

Katanya, sumbangan itu akan digunakan bagi menambah baik Webonary Kadazan-Inggeris-Melayu yang telah dilancarkan sempena sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa pada 21 Februari lalu.

Katanya, platform itu menghimpunkan lebih 30,000 entri Kadazan dan hampir 29,000 entri Melayu sebagai usaha menangani kemerosotan jumlah penutur bahasa Kadazan di Sabah.

Dalam pada itu, Pengerusi Penyelaras Persatuan Pesara Kerajaan Sabah daerah Penampang, Lawrence Misi turut merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diterima.

Beliau berkata, peruntukan itu akan dimanfaatkan bagi menjayakan pelbagai aktiviti persatuan termasuk penganjuran program sempena Hari Warga Tua Sedunia pada Oktober ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN