Rusdin (tengah) menyerahkan watikah perlantikan JKKK kepada para pemimpin masyarakat dari Mukim Paginatan
RANAU: Perlantikan institusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan berkuatkuasa selam lima tahun dan hanya berakhir selepas PRN yang akan datang tidak seperti sebelum ini, di mana ia diperbaharui setiap dua tahun.
Adun Paginatan, Datuk Rusdin Riman berkata, tempoh jawatan JKKK akan berjalan seperti jangkamasa seorang Adun untuk satu penggal, dan ini sudah tentu menjadi suatu berita baik kepada semua penjawat jawatan JKKK.
Walaubagaimanapun, beliau memberi peringatan kepada para lantikan baharu Setiausaha dan Pengerusi JKKK agar tidak terlalu selesa kerana beliau akan mengujudkan satu jawatankuasa pemantau bebas yang akan memantau prestasi mereka.
“Siapa-siapa yang tidak perform, saya tidak akan teragak-agak untuk nenamatkan perkhidmatan anda. Saya ingin menegaskan bahawa peranan JKKK bukan sahaja tertumpu kepada pengurusan kampung.
“Tetapi juga sebagai agen perpaduan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum, agama dan latar belakang. JKKK perlu menjadi pemimpin yang menyatukan, bukan memecah-belahkan,” katanya.
Rusdin yang juga Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan JKKK bagi DUN N38 Paginatan yang diadakan di Dewan Misompuru Poring pada hari Selasa.
Sementara itu, katanya, sebagai wakil rakyat di kawasan ini, beliau sentiasa komited untuk berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira asal-usul, fahaman politik, bangsa atau agama.
“Bukti nyata pada hari ini, bukan semua yang hadir untuk menerima watikah perlantikan adalah yang bersama-sama saya dalam berkempen pada PRN yang lalu, ada yang saya tidak kenalpun malah ada yang ini adalah yang pertama kali saya berjumpa.
“Cara pemilihan kita buat dengan satu jawatankuasa pemilihan yang dibentuk di peringkat ADUN dan mereka menjalankan pemilihan secara undian oleh penduduk kampung berkenaan, pilihan ramai ataupun mengekalkan pemegang jawatan yang sedia ada menunjukkan prestasi yang cemerlang,” katanya.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir pada bagi menjayakan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pengerusi dan Setiausaha JKKK bagi kawasan DUN N38 Paginatan.
Beliau turut mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima watikah perlantikan pada majlis itu dan mengingatkan mereka bahawa pelantikan ini bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan integriti.
Rusdin menambah bahawa JKKK merupakan tulang belakang kepada pentadbiran di peringkat akar umbi di mana mereka adalah penghubung utama antara rakyat dengan kerajaan.
“Segala suara, keperluan dan permasalahan masyarakat di kampung perlu disampaikan dengan tepat, agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil.
“Sehubungan itu, saya berharap agar semua JKKK yang dilantik dapat bekerjasama rapat dengan Pejabat ADUN, agensi kerajaan serta pemimpin tempatan dalam memastikan pembangunan di kawasan Paginatan terus diperkasakan.
“Gunakanlah peluang ini untuk berbakti kepada masyarakat. Jadilah pemimpin yang mudah didekati, telus dalam tindakan,dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Di samping itu, katanya, JKKK memainkan peranan sebagai suara yang menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat, dan dalam masa yang sama membawa permasalahan serta keperluan rakyat kepada pihak kerajaan.
Dalam usaha memajukan kampung, tambahnya, JKKK perlu proaktif merancang dan melaksanakan pelbagai program pembangunan, sama ada dari segi infrastruktur, ekonomi, mahupun sosial.
“Selain itu, aspek keselamatan dan keharmonian kampung juga tidak boleh dipandang ringan. JKKK perlu sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan persekitaran kampung sentiasa aman, selamat, dan kondusif untuk didiami.
“Semangat gotong-royong dan perpaduan perlu terus dipupuk agar hubungan sesama penduduk sentiasa erat. Sebagai pemimpin di peringkat kampung, JKKK juga memikul tanggungiawab besar dalam menjaga kebajikan masyarakat.
“Golongan yang memerlukan seperti warga emas, ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan perlu diberi perhatian sewajamya. Pastikan setiap bantuan yang disalurkan sampai kepada golongn sasaran secara adil dan telus,” katanya.
Dari sudut pentadbiran pula, Rusdin berkata, JKKK perlu mengamalkan tadbir urus yang baik, mengadakan mesyuarat secara berkala, mengurus kewangan dengan berhemah, serta memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru agar JKKK terus menggalakkan aktiviti ekonomi di kampung masing-masing.
“Sokonglah usaha keusahawanan tempatan dan bantu mempromosikan produk kampung agar dapat meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat,” jelas beliau.
Turut hadir di majlis itu, Pegawai Daerah, Tinus Manggam, Ketua Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Paginatan, Petin Kilou, Penyelia Kemajuan Masyarakat, Pemaju Masyarakat, Pemaju Mukim dan lain-lain.



