Sebahagian daripada penduduk kampung Gersik/Saguking yang memeriahkan sambutan Aidilfitri KRT Saguking
LABUAN:Majlis Sambutan Aidilfitri KRT Kampung Saguking 2026 di sini berjaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat sekaligus memperkukuhkan silaturahim dan perpaduan komuniti setempat.
Majlis yang dianjurkan oleh KRT Saguking dengan kerjasama JPKK Gersik/ Saguking itu merupakan salah satu aktiviti tahunan KRT Kampung Saguking dengan menampilkan pelbagai pengisian yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk kampung tetapi juga menyerlahkan kewibawaan kepimpinan KRT itu sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Gersik/Saguking, Mohd Rafil Othman ketika berucap pada majlis itu mengucapkan tahniah kepada KRT Saguking yang telah berusaha menganjurkan program berkenaan dengan jayanya.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan penduduk kampung Saguking khususnya telah memberikan kerjasama yang baik dan sentiasa menyokong apa juga aktiviti yang dijalankan oleh KRT.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Mohd Shahrul Idris mengucapkan terima kasih kepada UMNO Bahagian, Kelab Generasi Labuan (KGL) dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Saiful Pungot yang menghulurkan sumbangan dan menaja hadiah pertandingan yang disediakan oleh penganjur.
Selain menjamu juadah sambutan Aidilfitri, pengunjung yang hadir turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan termasuk pakaian tercantik, cabutan bertuah dan sebagainya.
Hadir sama, Ketua Cawangan UMNO Saguking, Haji Zainal Bungso dan mantan Ketua Kampung Gersik/Saguking, Osmsn Kadir.



